THE HAGUE - Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte melakukan 'kesilapan besar' apabila berjabat tangan sebaik sahaja selesai menyampaikan perutusan khas di televisyen meminta 17 juta rakyat negara itu supaya tidak bersalaman sebagai salah satu cara mengekang penyebaran koronavirus (Covid-19).
"Maaf maaf. Kami tak buat lagi selepas ini," kata Rutte selepas beliau bersalaman dengan Ketua Pusat Kawalan Penyakit Belanda, Jaap van Dissel pada sidang media berhubung Covid-19 di The Hague kelmarin.
Sebaik menyedari kesilapan itu, Rutte menghulurkan siku kirinya kepada van Dissel sebagai cara bersalam sepanjang tempoh penularan Covid-19 di negara tersebut.
Ketika ini, Belanda mencatatkan hampir 400 kes Covid-19 termasuk dua kematian.
Terdahulu, Rutte menerusi siaran langsung di seluruh Belanda menyampaikan langkah baharu yang disarankan oleh pihak berkuasa kesihatan negara itu bagi membendung penyebaran wabak maut tersebut.
"Mulai sekarang kita berhenti berjabat tangan. Jadi, anda boleh menyapa antara satu sama lain dengan kaki, siku atau apa sahaja cara yang anda suka," katanya.
Wabak Covid-19 ketika ini telah menjangkiti lebih 110,000 orang termasuk di 4,000 kematian di seluruh dunia.
Kebanyakan kes adalah di Wuhan, iaitu pusat penyebaran Covid-19 di China. - AFP