KUALA PILAH - Anak kelahiran Kelantan ini tidak pernah terfikir yang kerjayanya sebagai tukang masak hotel kini berubah sebagai tukang masak istana.
Berkelana di Negeri Sembilan pada 1998, Sabdanney Abu Bakar, 43, memulakan khidmatnya menyediakan santapan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan sesi keluarganya sejak lima tahun lalu.
Mengimbau kembali bagaimana menjadi Ketua Tukang Masak keluarga di Raja Negeri Sembilan, Sabdanney berkata, ketika berkhidmat sebagai tukang masak di Hotel Royal Chulan, Seremban, kenalannya memberitahu pihak istana sedang mencari tukang masak baharu.
"Ketika itu saya berkhidmat di hotel terbabit sudah lapan tahun. Saja cuba nasib, saya hantar permohonan dan tak sangka dipanggil untuk sesi ujian rasa.
"Betapa berdebarnya bila kali pertama sediakan hidangan kepada raja dan menu yang saya sediakan ialah daging masak lada hitam,” katanya.
Namun kata Sabdanney, dia ditegur Tuanku Muhriz yang memberitahu baginda tidak suka lada hitam diletak dalam masakan.
Meskipun begitu, beliau tetap diberi peluang menunjukkan bakat dan selepas tiga bulan, dipanggil menghadap Tuanku Muhriz yang berkenan menerimanya sebagai tukang masak.
Jangan ada gula dalam masakan
Mengakui berdepan sedikit kesukaran pada peringkat awal untuk menyediakan menu diraja kerana sudah biasa dengan cara masakan di hotel, Sabdanney berkata, situasi itu kini tiada lagi.
Secara keseluruhan katanya, Tuanku Muhriz tidak cerewet soal makan dan menjadi pilihan baginda ialah masakan Negeri Sembilan, tetapi syaratnya setiap masakan tidak boleh diletakkan gula.
"Sejak hari pertama bertugas sebagai tukang masak, saya sudah diingatkan supaya tidak meletakkan gula dalam masakan dan jangan terlalu pedas.
"Pernahlah ada sekali dua pembantu saya terletak gula dan saya pula tiada pada waktu itu, yang mengejutkan baginda boleh tahu,” ceritanya.
Antara santapan digemari Tuanku Muhriz ialah ayam rendang puding, daging masak lemak salai, sambal tempoyak daun kayu, rendang pegaga dan rendang kepayo atau betik.
Kebiasaannya, lima ke enam menu disediakan untuk makan tengah hari, manakala pada makan malam pula Tuanku Muhriz lebih suka hidangan ringan seperti mi sup, nasi ayam, ‘roasted chicken’ dan roti canai.
"Setiap hari, saya akan menghantar buku menu terlebih dahulu kepada Tuanku Muhriz untuk baginda bertitah memilih santapan. Ada kalanya baginda sendiri ‘request’,” katanya.
Bangga jadi tukang masak istana
Tidak mempunyai rahsia khusus dalam masakannya, Sabdanney memberitahu, dia hanya amalkan empat prinsip utama dalam tugas iaitu kebersihan, peraturan, disiplin dan sabar.
"Tuanku lebih suka makan di ‘rumah’. Jika baginda ada program di luar Negeri Sembilan, saya akan ikut sama bergantung kepada permintaannya.
"Apa-apa pun saya bangga berkhidmat sebagai tukang masak istana dan ini pengalaman paling bernilai,” katanya.