EPISOD kemelut politik negara sudah pun berakhir apabila 31 menteri Kabinet mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati, Putrajaya Selasa lalu.
Walaupun ia bukan penamat namun ia sebenarnya permulaan buat semua barisan menteri untuk membuktikan kemampuan masing-masing.
Dalam ramai-ramai menteri, sudah tentulah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menjadi tumpuan.
Menjawat portfolio baharu pastinya ramai yang mahu melihat hasil tangan menteri yang popular dalam kalangan orang muda dan media sosial itu.
Tidak kurang juga komen nakal di media sosial yang membuat posting akan mula meminati bidang sains berbanding sukan sebelum ini.
Dalam satu kenyataan kepada media, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, ia adalah suatu tugas dan amanah yang berat namun beliau sudah bersedia menggalas tanggungjawab itu demi untuk memastikan usaha memacu kemajuan negara tercapai.
Katanya lagi, bagi menempuh cabaran global dengan teknologi moden serba pantas selain daripada sasaran Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi, kementerian itu pastinya akan menjadi pemacu utama yang akan memandu Malaysia melepasi cabaran bagi mencapai sasaran itu.
"Saya mohon sokongan dan dokongan daripada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Khairy dan timbalannya, Ahmad Amzad Mohamed mungkin boleh bekerjasama dengan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor untuk memperkenalkan inovasi yang dapat memberikan manfaat buat negara amnya dan khasnya buat rakyat Malaysia.
Yang pasti MOSTI tidak bersendirian dalam memastikan pentadbiran kali ini berjaya kerana kementerian ini perlu bekerja rapat dengan Kementerian Alam Sekitar yang diterajui oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan timbalannya, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad.
Apa pun YB KJ, selamat kembali bertugas dan ramai yang menantikan perubahan yang bakal dilakukan oleh anda.