Covid-19: Singapura catat 12 kes baharu, lapan kes import

Iklan
Seorang lelaki memakai topeng muka berjalan melepasi paparan Rain Vortex di Lapangan Terbang Changi. Foto: AFP

SINGAPURA - Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura hari ini melaporkan 12 lagi jangkitan virus koronavirus (Covid-19) dengan lapan daripadanya adalah kes import.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu setakat ini ialah 178.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan MOH hari ini, satu daripada kes import membabitkan seorang wanita rakyat British berusia 37 tahun.

Dia berada di Jepun dari 24 Februari hingga 4 Mac dan UK dari 4 hingga 8 Mac.

Iklan

Wanita itu telah disahkan dijangkiti virus Covid-19 pagi ini dan kini ditempatkan dalam bilik isolasi.

Satu lagi kes import membabitkan seorang wanita rakyat Indonesia berusia 56 tahun yang tiba di Singapura pada 9 Mac.

Iklan

Dia dilaporkan mula mengalami gejala penyakit itu pada 6 Mac ketika berada di Indonesia.

Kes import lain membabitkan seorang rakyat Filipina dan beberapa rakyat Singapura.

Menurut MOH, tiga lagi pesakit Covid-19 telah dibenarkan keluar dari hospital menjadikan jumlah keseluruhan yang telah pulih ialah 96.

Daripada 82 kes yang telah disahkan dan masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau semakin pulih manakala sembilan berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Setakat tengah hari, MOH telah mengenal pasti sejumlah 4,218 kontak rapat yang telah dikuarantin. - Bernama