Tun Mahathir pantau gerak-geri Muhyiddin

Iklan
Wawancara eksklusif bersama ikon negarawan Dr Mahathir bagi merungkai persepsi dan dakwaan yang mengeruhkan dunia politik negara. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI

TANGGAL 1 Mac 2020, negara menyaksikan satu lagi detik bersejarah apabila tampuk pimpinan utama Malaysia bertukar tangan menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Sebelum itu, untuk seminggu Tun Dr Mahahtir Mohamad diberi kesempatan sebagai Perdana Menteri Interim dan sepanjang tempoh itu pelbagai spekulasi timbul mengenai calon atau pengganti kepada jawatan tersebut.

Iklan
Iklan

Apabila Muhyiddin diumumkan sebagai Perdana Menteri kelapan, timbul desas-desus mengatakan hubungannya dengan Dr Mahathir sedikit dingin susulan dakwaan dirinya adalah pengkhianat yang memulakan tindakan kerajaan 'pintu belakang'.

Sinar Harian berkesempatan mengadakan pertemuan dan wawancara eksklusif bersama ikon negarawan ini iaitu Dr Mahathir bagi merungkai persepsi dan dakwaan yang dijangka mampu mengeruhkan dunia politik negara.

Iklan

Ikuti transkrip penuh wawancara bersama Dr Mahathir. Wawancara ini ialah interviu pertama Dr Mahathir dengan organisasi media selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Ketujuh.

SINAR HARIAN: Tan Sri Muhyiddin sekarang ini dilantik menjadi Perdana Menteri. Apakah pandangan Tun terhadap situasi yang berlaku ini?

Iklan

DR MAHATHIR: Saya nak lihat bagaimana dia nak tangani masalah mereka yang sedang dihadapkan ke mahkamah. Apa peranan mereka? Setakat ini kita dapati mereka tidak disenaraikan dalam Kabinet. Baiklah. Kita nak tengok orang UMNO yang bermasalah ini apa mereka akan lakukan kemudian. Apakah mereka akan terima bulat-bulat dihadapkan ke mahkamah, didapati bersalah dan dipenjarakan, sedangkan mereka yang memberi kekuatan kepada Muhyiddin. Saya nak tengok apa perasaan mereka, apa tindakan mereka.

Tan Sri Muhyiddin ada menulis surat kepada Tun untuk berjumpa. Tun bersedia berjumpa dengan Muhyiddin?

Waktu ini saya tidak bersedia untuk berjumpa dengan dia. Sebab saya nak tengok apa yang dia boleh buat yang saya tak boleh buat.

Adakah Tun merasakan kerajaan Muhyiddin ini akan bertahan? Berapa lama ia boleh bertahan?

Boleh bertahan sampai PRU (PRU15 yang boleh berlanjutan hingga 2023). Sekarang ini bila dia jadi kerajaan, dia dapat bagi gula-gula kepada banyak orang. Saya dapati beberapa orang yang menjadi penyokong saya, sekarang ini dilantik menjadi menteri, maka mereka berpindah ke sebelah sana.

Muhyiddin pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya semalam. -Foto Bernama

Kita dahulu mempunyai kelebihan sebanyak 114 kerusi tetapi sekarang ini jumlah itu makin kurang. Jadi dalam Dewan Rakyat kita nak bawa usul tidak percaya pun tidak mungkin berjaya. Sebabnya dia sudah ambil orang saya menyebelahi dia. Memanglah bila dia tawarkan jadi menteri susah bagi orang nak tolak. Saya tidak boleh tawarkan apa-apa pun.

Berdasarkan senarai menteri Kabinet yang diumumkan Isnin lalu tidak ramai kaum Cina dan India dilantik menjadi Menteri dan Timbalan Menteri. Apakah pandangan Tun tentang komposisi ini?

Komposisi itu ialah kerajaan yang hampir kepada kerajaan Melayu. Tetapi bila kita ada pilihan raya, saya tidak fikir orang Cina akan sokong. Tentulah orang India tidak akan sokong. Jadi majoriti orang Melayu sekarang ini akan berkurangan dalam pilihan raya akan datang.

Langkah Muhyiddin mentiadakan jawatan Timbalan Perdana Menteri, adakah Tun fikir Muhyiddin membuat satu langkah yang betul?

Kalau pilih pun tak betul, kalau tak pilih pun tak betul. Jadi dia dalam dilema dan serba salah. Kalau pilih, siapa? Kalau tidak pilih, orang akan tunggu. Orang akan desak dia supaya ada orang yang akan dapat jawatan itu. Jadi masalah ini perlu dihadapi oleh Muhyiddin.

Apakah nasihat Tun kepada Kabinet yang baru dibentuk ini?

Saya minta kalau boleh Kabinet jangan gugurkan dasar-dasar baik yang telah kita adakan. Umpamanya Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Itu satu dasar yang baik dan orang yang mencipta dasar itu juga ada dalam Kabinet. Jangan gugurkan.

Lagi satu perkara yang saya khuatir, Muhyiddin tidak suka pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Dia nak balik kepada bahasa Melayu. Sains dan matematik ini bukan seperti geografi dan sejarah. Dua subjek itu tidak bertukar. Berbanding dengan sains dan matematik, ia bertukar sepanjang hari.

Tiap-tiap hari kita mendengar penemuan baharu, aplikasi baharu. Jadi kalau dalam bahasa Melayu, datang kertas berkenaan application, digitalization, artificial intelligence dan sebagainya, dalam bahasa Melayu kita tidak boleh faham. Kita nak ada orang yang menterjemah. Orang yang menterjemah itu perlu ada ilmu dan perlu fasih dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Bahasa sains dan matematik ini pula berlainan dengan Bahasa Inggeris biasa. Jadi nak terjemahkannya adalah satu perkara yang sukar dilakukan.

Jadi kita akan ketinggalan pada waktu sains berkembang dengan maju. Kalau kita tidak faham dengan penggunaan ilmu sains ini, kita akan ketinggalan. Umpamanya kita pergi ke persidangan antarabangsa, biasanya akan menggunakan bahasa Inggeris. Jadi orang kita tidak faham bahasa Inggeris dan suka mengikuti persidangan.

Kalau diterjemah pun tidak akan dapat diterjemah kepada bahasa-bahasa baharu, idea-idea baharu yang datang dalam bidang sains. Sebab itu saya kata sains dan matematik bukan satu ilmu yang statik. Ia berkembang sepanjang masa.

Bukan saya tidak sayang bahasa saya. Saya pejuang bahasa sebelum ramai orang lahir. Tahun 1945, 1946 saya (telah) perjuangkan bahasa tetapi saya lebih utamakan ilmu. Kalau kita ketinggalan ilmu, kita akan mundur. Sekarang ini pun kita mundur.

Adakah Tun Mahathir mengharapkan PPSMI akan diteruskan oleh kerajaan baharu di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Pentadbiran dalam bahasa Melayu tiada masalah. Ia mudah. Masa zaman saya dahulu, orang Cina yang menjadi kakitangan kerajaan lebih fasih berbahasa Melayu daripada bahasa Inggeris. Bahkan mereka lebih senang menggunakan bahasa Melayu daripada bahasa Inggeris.

Tun sebelum ini ada menyatakan akan melepaskan jawatan (Perdana Menteri) selepas dua tahun, kemudiannya ditangguhkan selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020. Mengapa Tun melihat persidangan itu sangat penting untuk dihadiri? Adakah Tun hendak menyampaikan sesuatu yang amat penting ketika itu?

Memang ada banyak benda yang kita hendak beritahu kepada seluruh dunia apa yang kita buat. Umpamanya, kita sudah ada rangka untuk mengatasi masalah hutang yang besar. Kita juga sudah ada rangka bagaimana memajukan ekonomi negara.

Kita juga sudah mempunyai perancangan untuk meningkatkan pendapatan orang kampung berbanding dengan orang bandar serta bermacam-macam lagi yang kita sediakan. Cuma kita baharu hendak laksana. Selepas ini, saya harap Muhyiddin guna pelan-pelan itu supaya tidak jadi masalah kepada negara.

Adakah Tun bersedia untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin?

Waktu ini tidak bolehlah.

Mengapa begitu Tun?

Pasal dia berkawan dengan orang yang tidak senonoh, pencuri, penyangak, orang yang kleptokrat... saya tidak boleh.

Tetapi Muhyiddin tidak memberi sebarang jawatan Kabinet kepada orang-orang berkenaan?

Waktu ini... tetapi orang-orang itu kuat. Dia mempunyai kuasa menumbangkan kerajaan. UMNO ada lebih 50 ahli (Parlimen), sedangkan Bersatu kalau campur-campur pun ada 30 (ahli Parlimen) sahaja. Kalau UMNO tarik diri, jatuhlah kerajaan.

Sekiranya Tun mungkin tidak boleh terima Tan Sri Muhyiddin buat masa ini, bagaimana dengan inisiatif Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dibawa Tun? Adakah Tun akan membantu menteri-menteri lain untuk menjayakan gagasan itu kelak?

Banyak menteri lain agak junior. Jadi mereka tiada pengalaman. Mereka perlu ambil masa. Saya berharap mereka berjaya. Hendak jumpa saya tiada guna kerana saya tiada kuasa. Saya berpendapat bahawa kita lihat keadaan. Kalau ada unsur pengaruh daripada mereka yang menghadapi masalah di mahkamah, saya rasa tidak baiklah.

Dua minggu lalu, Tun gunakan perkataan pengkhianat kepada Muhyiddin. Adakah Tun masih lagi merasakan perkataan itu bersesuaian?

Perkataan (pengkhianat) itu bukan dia. (Perkataan itu ialah) perbuatan dia mengkhianati perjuangan parti. Sepatutnya perjuangan Bersatu itu... pendapat saya lebih utama dibicarakan, tetapi saya ditolak bulat-bulat. Saya kecewalah dengan tindakan orang yang selalu berkata kepada saya, dia penyokong kuat kepada saya dan tiada minat langsung hendak menjadi Perdana Menteri.

Tiba-tiba dia sanggup bekerjasama dengan kleptokrat kerana hendak mendapat sokongan mereka. Itu saya tidak (boleh) terima. Sepatutnya dia membuat pilihan sayalah yang memimpin parti. Dia tolak saya dan dia terima Najib. Jadi saya berasa kecewa. Mungkin perkataan pengkhianat itu bagi sesetengah orang tidak tepat. Tetapi saya berasa perbuatan seperti itu mengkhianati perjuangan.

Adakah Tun akan terlibat dalam gerakan menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagaimana Tun berperanan menggerakkan usaha menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak?

Saya hendak tengok kerajaan Perikatan Nasional (PN). Baru-baru ini, dia buat satu kerajaan yang tiada Timbalan Perdana Menteri dan tiada orang yang dihadapkan di mahkamah. Saya hendak kata apa-apa pun tidak boleh sehingga saya lihat apa sebenarnya yang akan berlaku.

Adakah orang yang secara tidak langsung memberi kemenangan kepada Muhyiddin terdiri orang yang dihadapkan ke mahkamah sanggup masuk penjara sedangkan Muhyiddin jadi Perdana Menteri?

Kalau mereka sanggup, okay. Kalau tidak sanggup, mereka akan timbulkan masalah itu ini. Najib kata,"terima kasihlah, saya masuk jel”... 20 tahun tempoh penjara. Tidak tahulah dia terima ataupun tidak.

Tun, ada tiga karakter besar dalam politik Malaysia sekarang. Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Abdul Razak. Apakah penilaian Tun?

Ketika ini, saya tidak boleh hendak kata apa-apa. Pasal saya hendak kena pantau apa yang akan berlaku. Yang saya khuatir sama sekali adalah kegiatan Najib. Apa yang dia hendak buat. Sebab dahulu dia sanggup belakangkan undang-undang, sanggup rasuah, sogok... itu cara Najib. Saya hairan sebab dia anak Tun Razak.

Kita tidak boleh buat penilaian awal. (Saya) hanya boleh tunggu dan lihat. Tetapi saya merasakan apa yang berlaku ketika ini tidak sepatutnya berlaku.

Tadi Tun kata Melayu sudah berpecah kepada banyak parti. Tidak bolehkah Tun atau sesiapa sahaja bersama-sama Muhyiddin untuk menyatukan kembali orang Melayu agar tidak berpecah kepada banyak lagi parti?

Itu kita (akan) fikirkan kemudianlah. Waktu ini saya masih lagi berpendapat bahawa pengaruh kleptokrasi masih kuat. Bahkan kleptokrat ini mampu menjatuhkan kerajaan Muhyiddin.

Dalam Bersatu, saya tidak boleh. Saya minoriti. Kalau kleptokrat cabut (keluar Perikatan Nasional), jatuh kerajaan.

Adakah Bersatu akan sertai semula Pakatan Harapan atau tidak?

Malangnya Pakatan Harapan pada waktu mereka patut sokong, mereka tidak sokong saya. Mereka mengecewakan saya. Hendak sokong, pada masa ini saya belum buat sebarang keputusan. Pasal fakta sebenar belum cukup untuk saya buat satu keputusan.

Apabila sidang Parlimen berlangsung pada 18 Mei nanti, bagaimana Tun lihat peranan Tun dalam Parlimen?

Saya hendak tengok keadaan ketika itu. Tetapi saya percaya pada masa itu Muhyiddin ada majoriti dalam Parlimen. Kalau ada majoriti, tidak guna kita adakan satu usaha untuk menjatuhkan Muhyiddin. Lagipun kita tiada majoriti untuk mengusulkan undi penentuan sokongan (vote of confidence)... memang tidak boleh.

Adakah kemungkinan Tun akan jadi Ketua Pembangkang bila Parlimen dibuka?

Saya bukan pembangkang (tipikal), tetapi hendak menjadi pembangkang yang berhemah. Saya hendak tengok apa yang penting. Keutamaan saya dari dahulu sehingga sekarang adalah tentang kedudukan orang Melayu. Itu perjuangan utama saya. Saya tidak kira (perkara lain). Kalau saya berkuasa, saya cuba (tolong). Kalau tidak berkuasa pun, ada banyak benda saya boleh buat untuk majukan orang Melayu.

Wawancara eksklusif bersama ikon negarawan ini iaitu Dr Mahathir bagi merungkai persepsi dan dakwaan yang dijangka mampu mengeruhkan dunia politik negara. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI

Sekarang (adalah masa) untuk usaha memajukan orang Melayu supaya mereka memiliki kekuatan ekonomi untuk dimajukan bersekali kekuatan politik.

Bagaimana Tun lihat peranan institusi Yang di-Pertuan Agong dalam menyelesaikan kemelut politik Malaysia dua minggu lepas?

Saya biasanya ada good access kepada Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong. Tetapi bila saya hendak bertemu dan menghadap, saya tidak diberi peluang untuk menghadap kerana pemilihan sudah dibuat Seri Paduka. Yang itu terpulang kepada Seri Paduka. Saya tidak mahu kacau.

Tetapi ada akhbar luar negara memberi komen negatif terhadap peranan institusi raja. Adakah Tun rasa komen itu ada kebenaran?

Bagi orang asing, mungkin ada kebenaran. Ini kerana saya yang ada majoriti dipilih, tiada masalah. Tetapi yang dipilih, orang yang tiada majoriti. Jadi ini yang dipersoalkan oleh akhbar luar negeri. Biasanya saya tahu akhbar luar negara tidak begitu bersimpati terhadap hal ehwal negara kita.

Soalan ini berkenaan dengan teori konspirasi. Ada pihak yang mengatakan Tun sebenarnya berkonspirasi untuk mewujudkan keadaan seperti sekarang.

Yang betul-betul berkonspirasi adalah Najib. Apabila dia kalah maka dia dapat idea kalau dia boleh tubuh satu kerajaan

Melayu Islam, maka dia akan dapat lebih sokongan orang Melayu dan dia akan menang.

Sebab itu dia lama mencuba namun pendekatan dia tidak berkesan dan akhirnya gagal. Akhirnya kami yang menang.

Dia (Najib) dan Pas masih tekankan Melayu Islam dan mereka juga cuba mencari sokongan daripada Bersatu untuk tubuhkan kerajaan Melayu Islam kerana DAP dianggap jahat.

Kita kena singkirkan DAP, jadi kita kena bekerjasama dengan UMNO. Tiba-tiba orang yang kalah dianggap menang manakala orang yang menang dikatakan kalah. Ini sebenarnya konspirasi siapa, adakah saya? Apa sebab saya perlu melakukan konspirasi kerana saya sudah menjadi Perdana Menteri.

Saya ingat saya jadi Perdana Menteri, bila sampai masanya saya akan letak jawatan dan itu tidak menjadi masalah.

Jadi Tun menafikan bahawa apa yang berlaku ini bukan konspirasi daripada Tun.

Bukan saya, tetapi Najib. Najib nak dapat balik kuasa dengan secepat mungkin kerana tidak lama lagi keputusan perbicaraan akan diumumkan dan dia mungkin dihukum.

Kalau dia dalam kerajaan, dia mungkin dapat membuat sesuatu untuk menyelamatkan dirinya termasuk Zahid Hamidi, Ku Nan dan lain-lain. Mereka ini sebenarnya mahu melepaskan diri.

Jadi itulah konspirasi mereka. Macam mana nak jadi kerajaan setelah kalah dengan meyakinkan ahli ahli Bersatu untuk menyokongnya dan keluar daripada parti Pakatan Harapan sehingga Pakatan Harapan jatuh. Sekarang ini mereka dah menang. Najib jadi ahli dalam kerajaan walaupun dia tidak memegang jawatan, namun walaupun tanpa jawatan