BEKAS Presiden Mesir, Hosni Mubarak yang memerintah selama tiga dekad sebelum disingkirkan ketika kebangkitan Arab Spring pada tahun 2011 menghembuskan nafas terakhir 25 Februari lalu pada usia 91 tahun.
Ketika hayatnya, Mubarak hidup dalam tahanan berikutan tuduhan terlibat dengan kematian penunjuk perasaan namun dibebaskan pada tahun 2017 selepas dakwaan digugurkan.
Bekas pemimpin veteran itu turut bergelut melawan penyakit dan menjalani beberapa pembedahan dengan pihak media membuat spekulasi sama ada Mubarak menghidap kanser, masalah jantung atau masalah pernafasan.
Pemergian Mubarak dihujani kata-kata penghargaan daripada ramai pemimpin di Asia Barat di mana Mesir yang juga sekutu utama Amerika Syarikat (AS) pernah beberapa kali menjadi pengantara konflik Israel-Palestin.
Pada pengebumian Mubarak, Presiden Abdel Fattah al-Sisi turut memberi penghormatan terakhir dan memuji Mubarak sebagai salah seorang hero perang dengan Israel pada Oktober 1973. Pejabat Presiden turut mengisytiharkan tiga hari berkabung untuk bekas pemimpin yang pernah digelar 'Firaun' zaman moden itu.
Presiden Mesir selama 30 tahun
Bermula sebagai juruterbang tentera dan komander tentera udara ketika perang dengan Israel pada tahun 1973. Mubarak menjadi Naib Presiden pada tahun 1975 sebelum memegang tampuk pemerintahan pada tahun 1981 susulan pembunuhan Presiden Anwar al-Sadat ketika menghadiri perarakan tentera di Kaherah pada 6 Oktober tahun sama.
Beliau yang duduk berhampiran al-Sadat ketika kejadian terselamat namun terus berdepan beberapa lagi cubaan bunuh sepanjang hidupnya termasuk cubaan bunuh di Addis Ababa pada tahun 1995.
Mubarak terus berkuasa selama tiga dekad namun digulingkan pada tahun 2011 selepas protes besar-besaran selama tiga minggu yang bermula pada 25 Januari.
Penggulingan beliau berlaku ketika kemarahan memuncak yang sebahagiannya dicetuskan keganasan polis dan pilihan raya Parlimen 2010 yang didakwa dicemari penipuan selain isu rasuah dan nepotisme.
Mubarak berdepan pelbagai cabaran selepas disingkirkan, namun pada tahun-tahun berikutnya kebencian penduduk Mesir akhirnya menjadi sikap tidak peduli bercampur nostalgia. Kini ramai yang mengenang pemerintahan orang kuat Mesir itu sebagai tempoh kestabilan yang telah berlalu.
Para pengkritik berkata, ketika pemerintahan Mubarak, kerajaan dan ekonomi dibelenggu rasuah yang berleluasa, kerapuhan birokratik dan penyalahgunaan hak.
Mubarak tidak memperkenalkan negara polis di Mesir namun di bawah pemerintahannya, pasukan polis rahsia yang terkenal menyeksa dan 'menghilangkan' penentang menguasai hampir setiap aspek kehidupan rakyat.
Legasi Mubarak di Mesir menyaksikan seorang autokrat yang banyak bergantung kepada pasukan tentera dan keselamatan bagi menjamin kestabilan serta pada masa sama mempromosi hubungan rapat dengan kuasa Barat (AS) dan menjaga keamanan Mesir dengan Israel. Di peringkat antarabangsa, Mubarak meraih penghormatan sebagai broker kuasa serantau.
Pasca pemerintahan Mubarak menyaksikan Mesir berdepan kemelut politik, kekecohan berdarah di jalanan, pemerintahan singkat Presiden Mohamed Morsi dan penggulingan beliau pada tahun 2013 oleh Al-Sisi, seorang lagi pegawai tentera yang mengembalikan kuasa polis.
Kolumnis akhbar harian swasta terbesar Mesir, Al Masry Youm, Mohamed Amin menulis,"Anda boleh bersetuju atau tidak bersetuju dengan presiden yang telah pergi itu (Mubarak) namun satu perkara yang pasti, Mubarak tidak pernah mengkhianati negaranya".
Mubarak merupakan Presiden keempat Mesir yang diasaskan pada tahun 1952 apabila tentera menggulingkan monarki.
Beliau tidak dianggap sebagai revolusioner seperti Gamal Abdel Nasser, yang memerintah dari tahun 1965 hingga 1970 mahupun ahli politik berkarisma seperti al-Sadat yang menggantikan Nasser dan memerintah Mesir sehingga tahun 1981.
Namun kehebatan diplomatiknya terserlah pada peringkat antarabangsa dan beliau merupakan negarawan yang cekap terutama dalam membawa pembaharuan dan liberisasi ekonomi pada tahun 2000.
Pada masa sama, sehubungan tekanan dari AS, Mubarak mula melonggarkan cengkaman beliau dalam kehidupan politik. Media bebas mula berkembang dan protes ditangani dengan lebih banyak toleransi di sebalik insiden polis memukul dan menahan penunjuk perasaan di perhimpunan di Kaherah.
Dalam tahun-tahun akhir pemerintahan Mubarak, tidak dapat dipastikan sama ada beliau masih berkuasa ataupun telah menyerahkan kebanyakan tanggungjawab kepada anak lelakinya, Gamal.
Tentera kemudian memutuskan bahawa Mubarak tidak lagi boleh terus berkuasa dan pada 11 Februari 2011, beliau diterbangkan ke sebuah resort di Laut Merah jauh dari Kaherah.
Pengumuman peletakan jawatan Mubarak oleh naib presidennya pada ketika itu diraikan jutaan rakyat Mesir.
INFO
Sepintas 30 tahun pemerintahan Mubarak
* Kebangkitan kuasa
Mubarak merupakan pegawai tentera udara sebelum dilantik Naib Presiden Mesir oleh Presiden Anwar al-Sadat pada tahun 1975.
Pada 13 Oktober 1981, Mubarak diisytihar sebagai Presiden seminggu selepas al-Sadat dibunuh ketika menghadiri sebuah perarakan tentera. Perintah darurat dikeluarkan dan kekal sepanjang pemerintahan Mubarak yang disokong pasukan keselamatan negara.
* Kembali sertai Liga Arab
Pada April 1982 Israel berundur dari Sinai susulan perjanjian damai dengan Mesir pada tahun 1979.
Pada Februari 1986, seramai 107 orang terbunuh dan lebih 700 yang lain cedera ketika polis menangani rusuhan di Kaherah berhubung isu gaji dan keadaan bekerja.
Pada Mei 1989, Mesir masuk kembali ke dalam Liga Arab selepas disingkirkan pada tahun 1979 kerana berdamai dengan Israel.
* Cubaan bunuh
Pada Jun 1995, militan melakukan cubaan bunuh terhadap Mubarak di Addis Ababa. Ia merupakan cubaan bunuh pertama dari sekurang-kurangnya enam cubaan bunuh terhadap beliau.
* Ikhwanul Muslimin
Dalam pilihan raya pada November dan Disember 2005, Ikhwanul Muslimin mencipta sejarah muncul sebagai kumpulan pembangkang utama Mesir.
Larangan terhadap parti politik berasaskan agama bermakna calon-calon parti kumpulan terbabit harus bertanding sebagai calon bebas.
* Liberalisasi ekonomi
Mubarak memperkenalkan liberalisasi ekonomi ketika tahun 2000 dan Mesir mengalami pertumbuhan berterusan namun jurang perbezaan ekonomi menimbulkan ketidakpuasan hati.
Pilihan raya pada tahun 2010 pula dikritik di peringkat antarabangsa akibat penipuan dan calon-calon Ikhwanul Muslimin menarik diri daripada pusingan kedua undian sebagai tanda protes.
Parti National Democratic Party memperoleh majoriti Parlimen dengan memenangi 83 peratus kerusi sementara parti sekular mendapat tiga peratus kerusi.
* Arab Spring
Tercetus oleh pemberontakan yang menggulingkan pemerintah Tunisia, protes berlaku pada 25 Januari 2011, menuntut penyingkiran Mubarak
Mubarak meletak jawatan 18 hari kemudian pada 11 Februari 2011 selepas insiden keganasan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 850 nyawa. Beliau menyerahkan kuasa kepada tentera yang bertindak menggantung Perlembagaan dan membubarkan Parlimen
Mubarak kemudian meninggalkan Kaherah menuju ke Sharm el-Sheikh
PROFIL
- - 4 Mei 1928: Dilahirkan di Kampung Menufiyah di Delta Nil
- - 1950: Menjalani pengajian tentera sebelum menyertai pasukan tentera udara
- - 1972: Ketua Turus Tentera Udara merangkap menteri hal ehwal tentera
- - April 1975: Dinamakan Naib Presiden Mesir
- - 1978: Menjadi Naib Presiden parti pemerintah, National Democratic Party
- - Oktober 1981: Menggantikan Presiden Anwar Sadat yang dibunuh pada 6 Oktober di Kaherah
- - 11 Februari 2011: Selepas 30 tahun, dipaksa meletak jawatan susulan pemberontakan 18 hari pada ketika protes Arab Spring melanda rantau terbabit
- - Jun 2012: Dihukum penjara seumur hidup susulan kematian penunjuk perasaan. Perbicaraan diarah diadakan semula
- - Januari 2016: Mahkamah rayuan mengesahkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Mubarak dan dua anak lelakinya Alaa dan Gamal kerana rasuah
- - Mac 2017: Mubarak dibebaskan oleh mahkamah rayuan berhubung kematian penunjuk perasaan dan dibebaskan dari sebuah hospital tentera Kaherah di mana beliau menghabiskan tempoh tahanan sejak tahun 2011
- - 25 Februari 2020: Mubarak meninggal dunia di sebuah hospital tentera di Kaherah