KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Seri Alias Ahmad memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa tiada bayaran yang dibuat kerajaan untuk projek solar hibrid di Sarawak.
Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata demikian ketika membetulkan cadangan peguam bela Datuk Akberdin Abdul Kader mengenai pembayaran pendahuluan yang diminta oleh KPM daripada Kementerian Kewangan pada 2016 untuk dibayar kepada syarikat Jepak Holdings.
Alias berkata, Kementerian Pendidikan meminta bayaran pendahuluan untuk kerja-kerja yang berkaitan dengan genset diesel di sekolah-sekolah di Sarawak dan bukan untuk projek solar hibrid.
Akberdin: Kita jangan kelirukan mahkamah.
Alias: Bayaran ini dibuat bukan untuk projek solar hibrid, ia untuk projek genset diesel sahaja. Tak pernah dibayar satu sen pun untuk projek solar hibrid itu.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan bagaimanapun menegur peguam bela kerana mengasak saksi dan menuduh bekas KSU KPM itu sebagai seorang yang 'korup'.
Akberdin juga menuduh Alias mempunyai kepentingan dalam projek hibrid solar.
"Saya kata pada kamu sanggup ambil inisiatif sampai telefon lepas surat penolakan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan, Datuk Othman Semail, sebab datuk (Alias) ada kepentingan dalam projek ni...," kata Akberdin.
Alias bagaimanapun membalas,"tidak setuju".
Saksi itu memberi keterangan pada hari ke-14 perbicaraan kes melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor, 68, yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.
Suapan itu didakwa diterima menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada KPM.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.
Perbicaraan disambung 6 April depan.