Belanjawan Sabah tumpu pembangunan ubah ekonomi: Mohd Shafie

Iklan
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika sidang media selepas merasmikan Forum Meja Bulat Ekonomi Islam Sedunia 2020 hari ini. Hadir sama Setiausaha Agong Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak (kiri) dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (kanan). - Foto Bernama

KOTA KINABALU- Sabah menyasar mentransformasikan ekonomi berasaskan perindustrian menerusi pelaksanaan belanjawan tahun ini yang menumpukan kepada pembangunan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, pembangunan ekonomi akan mendapat keutamaan dalam perbelanjaan belanjawan tahun ini dengan peruntukan RM896.32 juta bagi mengembangkan industri utama di negeri ini.

Iklan
Iklan

"Setiap negeri di Malaysia bertanggungjawab bagi merangsang ekonominya sendiri untuk memastikan ekonomi negara kita kekal stabil dan dipertingkatkan,” katanya pada majlis pembukaan persidangan Meja Bulat Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF), di sini, hari ini.

Menurutnya, ini sejajar dengan Rancangan Malaysia Kedua Belas yang telah mengenal pasti industri utama seperti pembuatan, pelancongan, pertanian, teknologi dan pendidikan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Iklan

Mohd Shafie berkata, rangka kerja dasar seperti Pelan Pembangunan Pertanian Sabah (2021-2030) dan Pelan Induk Industri Kayu Sabah akan menyokong matlamat negeri untuk mempelbagaikan ekonominya.

Kerajaan negeri, katanya, juga akan memberi perhatian utama kepada isu-isu berkaitan dengan pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar.

Iklan

"Penting bagi kami untuk memastikan keseimbangan yang betul antara pembangunan dan pemuliharaan alam semula jadi,” katanya

Tema persidangan Meja Bulat WIEF, Economic Rejuvenation: The Path to Growth (Pembaharuan Ekonomi: Laluan kepada Pertumbuhan) itu adalah sejajar dengan inisiatif Koridor Raya Pembangunan Sabah bagi melonjakkan ekonomi negeri menjadi kuasa pelaburan serantau, kata ketua menteri.

"Melihat kepada topik-topik dalam persidangan meja bulat hari ini, saya percaya yang kita akan memperoleh banyak pengetahuan dan penyelesaian kepada pelbagai cabaran ekonomi,” katanya.

Menurutnya, beliau terutamanya tertarik dengan topik semasa persidangan meja bulat berkaitan Indonesia’s Shifting Capital: Opportunities for Borneo (Perpindahan Ibu Negara Indonesia-Peluang bagi Borneo).

Rancangan Indonesia untuk memindahkan ibu negaranya dari Jakarta ke Kalimantan Timur, katanya, merupakan peluang untuk menjalin kerjasama lebih erat dengan negara-negara jiran.

"Bersama-sama, kita boleh mencapai impak yang lebih besar dalam memastikan pelaburan berprofil tinggi boleh dilaksanakan dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang, yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, Indonesia dan Brunei," katanya sambil menambah persidangan meja bulat itu juga membincangkan mengenai peluang perniagaan dan pelaburan di Sabah.

"Saya yakin dasar dan insentif yang ditawarkan negeri ini akan membantu memujuk anda untuk menimbang menjalankan perniagaan dan melabur di Sabah,” katanya. -Bernama