KUALA LUMPUR - Peguam bela Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Akberdin Abdul Kader hari ini terus mengasak saksi pendakwaan, bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Seri Alias Ahmad, 62, mengenai kepentingan kementerian itu dalam projek solar hibrid.
Akberdin mencadangkan bahawa bekas KSU KPM itu melalui kementeriannya ada menunjukkan minat yang lebih untuk mendapatkan bayaran pendahuluan untuk syarikat Jepak Holdings berbanding syarikat itu sendiri.
Akberdin berkata, walaupun Jepak tidak menulis surat secara terus kepada KPM atau Alias untuk mempercepat pembayaran, pihaknya selalu berkomunikasi dengan Kementerian Kewangan mengenai perkara itu.
"Setuju saya katakan, yang ambil berat pasal bayaran ini adalah KPM dan datuk. Tapi Jepak tidak tulis surat pun. KPM yang ambil berat, tulis surat, hantar lagi," kata Akberdin.
Bagaimanapun, Alias tidak bersetuju dengan cadangan Akberdin.
Semalam, Alias memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Datin Seri Rosmah Mansor ada memintanya untuk mempercepat proses menandatangani kontrak projek solar hibrid di Sarawak.
Alias berkata, isteri bekas Perdana Menteri itu juga ada bertanya kepada beliau bilakah kontrak tersebut boleh ditandatangani kerana sekiranya kontrak tidak ditandatangani, bayaran 'progress' tidak dapat dibuat.
Menurutnya lagi dalam keterangannya di mahkamah, Syarikat Jepak (Jepak Holdings Sdn Bhd) tidak dapat menyiapkan draf dokumen kontrak untuk diteliti oleh KPM.
Perbicaraan terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masuk hari ke-14 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Rosmah menghadapi tiga pertuduhan berkaitan dakwaan penyelewengan dana bagi pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bagi KPM.
Projek bernilai RM1.25 bilion itu diberikan kepada Jepak Holdings Sdn Bhd secara rundingan terus.
Prosiding perbicaraan ditangguhkan dan bersambung 6 April ini.