KATHMANDU - Pihak berkuasa China membatalkan permit dan menutup semua laluan pendakian Gunung Everest di sebelah Tibet susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Bagaimanapun, laluan pendakian di sebelah Nepal masih dibuka dengan setiap pendaki diminta menyerahkan sejarah perjalanan 14 hari dan rekod perubatan.
Penunjuk arah, Lukas Furtenbach daripada Furtenbach Adventures yang berpangkalan di Austria berkata, penutupan itu melibatkan laluan pendakian di sebelah utara.
Katanya, beliau tidak mempunyai pilihan lain selain memindahkan 11 kliennya ke Nepal.
Difahamkan, kawasan tumpuan pelancong di Tibet telah ditutup sejak Januari lalu.
Sementara itu, seorang lagi penunjuk arah, Adrian Ballinger daripada Alpenglow Expeditions telah membatalkan pendakian ke Everest.
"Saya setuju dengan tindakan China. Ia langkah yang bertanggungjawab bagi mengelak penyebaran Covid-19 di base camp," katanya.
Setiap tahun, Everest menarik ratusan pendaki dari seluruh dunia.
Musim bunga dianggap waktu terbaik untuk mendaki puncak tertinggi dunia itu disebabkan cuaca kondusif yang berlangsung sepanjang April dan akhir Mei.
Tahun lalu, seramai 885 pendaki berjaya menawan puncak Everest di mana 644 orang memulakan pendakian di laluan Nepal dan 241 lagi dari bahagian utara Tibet. - AFP