Wabak Covid-19 semakin parah

Iklan
Seorang wanita memakai penutup hidung dan mulut bagi mengelak jangkitan virus di Bukit Bintang. - Foto 123RF

SEHARI dua ini, kita disajikan dengan laporan berita yang menunjukkan Covid-19 semakin menjarah seluruh dunia terutamanya negara-negara Eropah dan Timur Tengah.

Untuk perbandingan, pada 18 Februari lalu, di Itali terdapat hanya tiga kes, Korea Selatan (31), Iran (0) dan Malaysia (22), namun dalam masa tiga minggu sahaja, negara-negara ini dalam keadaan 'lockdown' dengan Itali lebih daripada 12,000 kes, Iran (9,000), Korea Selatan (7,869) dan Malaysia (149).

Iklan
Iklan

Ketiga-tiga negara tersebut sudah mencatatkan ratusan kematian. Semua sekolah dan universiti ditutup serta pergerakan manusia disekat bagi membendung wabak ini daripada terus mengganas.

Malah di Iran, sembahyang Jumaat di beberapa wilayah juga dihentikan kerana kemudaratan virus ini yang mengancam nyawa.

Iklan

Bandar raya Milan yang dianggap bandar hab ekonomi Itali juga dikuarantin bersama 16 juta penduduknya.

Di sini kita boleh lihat betapa seriusnya negara-negara berkenaan mengambil langkah-langkah perlu bagi mengurangkan kesan terhadap kesihatan rakyat walaupun terpaksa mengorbankan ekonomi negara mereka.

Iklan

Virus ini juga digambarkan seperti wabak dalam filem-filem barat, belum ada vaksin dan amat berbahaya kepada manusia. Jadi apakah tindakan terbaik yang perlu kita lakukan?

Di Malaysia, kita bersyukur kerana mempunyai sistem kesihatan antara yang terbaik di dunia dan Kementerian Kesihatan (KKM) sudah bersedia dengan senario seperti ini.

Apapun, kerajaan Malaysia perlu berani bertindak dengan lebih tegas bagi membendung wabak ini daripada terus merebak dalam kalangan rakyat.

Dengan situasi yang masih terkawal di Malaysia, lebih baik kita menghentikan penerbangan dan menghalang seluruh penduduk Eropah dan Timur Tengah dari masuk ke Malaysia buat sementara waktu.

Bak kata pepatah, lebih baik mencegah daripada mengubati!