KOTA BHARU -"Biasa arwah ayahlah yang menjadi imam subuh setiap hari tapi hari ini saya agak pelik mendengar suara orang lain mengimamkan solat," kata menantu kepada ulama terkemuka Kelantan, Abdullah Al Qari Salleh, 82, yang meninggal dunia pagi tadi.
Napisah Abdullah, 53, berkata, keadaan itu menyebabkan dia menyangka bapa mentuanya yang sering mengimamkan solat Subuh di Masjid Al-Qari itu tidak sihat.
Bagaimanapun, dia yang tinggal berhampiran masjid berkenaan mengakui sangat terkejut selepas dimaklumkan mengenai kemalangan jalan raya yang meragut nyawa arwah mentuanya itu.
"Ini kerana arwah tidak akan sesekali meninggalkan masjid untuk mengimamkan jemaah di waktu Subuh, namun selepas itu saya dimaklumkan adik-beradik yang lain arwah terlibat dalam kemalangan semasa hendak ke masjid.
"Memang saya terkejut sangat sebab saya ingatkan dia tidak sihat saja," katanya ketika ditemui di kediamannya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Angkatan Wanita Amanah (Awan) Negeri Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim ketika ditemui di kediaman arwah memberitahu, rakyat Kelantan kehilangan seorang tokoh yang berpendidikan luas dan warak.
Beliau turut difahamkan ceramah terakhir disampaikan turut berkait dengan kematian mengejut dan arwah turut mengingatkan hadirin yang hadir ceramahnya itu sentiasa beringat dengan kematian sebagai destinasi terakhir.
"Semoga semua urusan arwah dipermudahkan ALLAH SWT," katanya.
Abdullah meninggal dunia selepas terlibat kemalangan jalan raya di Kubang Kerian pada jam 6.30 pagi tadi, dipercayai dalam perjalanan ke Masjid Al-Qari iaitu 1km dari kediamannya di Kampung Tok Kenali untuk menunaikan solat Subuh dan menyampaikan ceramah.
ARTIKEL BERKAITAN: Ulama Kelantan maut dalam kemalangan ke masjid
Tokoh terkemuka itu turut meninggalkan seorang isteri, Aisyah Ibrahim, 76, lapan orang anak, 57 orang cucu dan enam orang cicit.
Jenazah Abdullah disembahyangkan di Masjid Sultan Ismail Petra dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Kenali, bersebelahan rumahnya.
Abdullah Al Qari dikurniakan Anugerah Khas Pendidik Islam Malaysia pada 2017 dan mendapat Ijazah Kehormat Doktor Pengajian Islam Universiti Malaya pada 2016.
Beliau pernah dianugerahkan Tokoh Alihbahasawan Antarabangsa 2016, Tokoh Pembaharuan Islam Nadwah Ulamak Nusantara (2015), Tokoh Pengkaji Al-Quran dan Alhadith Nusantara (2009) dan Tokoh Penulis Islam Terbaik Serambi Mekah (2008).
Selain itu, beliau juga Tokoh Sunnah Nusantara (2005), Pujangga Islam (2005), Tokoh Maulidur Rasul Malaysia (2005) dan Tokoh Guru Kelantan .