ALOR GAJAH - Kedaifan hidup memaksa seorang wanita berjalan kaki dari rumahnya ke klinik desa dengan jarak sejauh 3km bagi mendapatkan rawatan anaknya.
Ibu kepada empat cahaya mata, Nur Azlinah Sahol Hamid, 32, itu berjalan dari Kampung Seri Terubuk ke Klinik Desa Durian Daun bersama seorang anak lelaki berusia 3 tahun sambil mendukung anak bongsu berusia 9 bulan kerana ketiadaan bas yang melalui kawasan terbabit setelah menunggu lebih sejam.
Pegawai Zakat Majlis Agama Islam Melaka Daerah Alor Gajah, Mazfazil Ismail berkata, kepayahan keluarga itu didedahkan setelah beliau bersama kumpulannya terserempak dengan ibu muda berkenaan selepas program ziarah kasih di kawasan Masjid Tanah.
"Kami ambil keputusan membawa Nur Azlinah ke klinik serta menunggu sehingga rawatan anak-anaknya selesai sebelum dihantar semula ke rumah.
"Bila kami tiba di rumahnya, kita dapati keadaan begitu daif dengan bumbung rumah yang bocor dan suaminya hanya bekerja sebagai pekerja pembersihan di Matrikulasi Londang, Masjid Tanah.
"Sebelum ini, Azlinah turut bekerja di tempat sama suaminya bekerja, namun dia terpaksa berhenti apabila syarikat pembersihan mengalami masalah kewangan," katanya.
Dalam lawatan tersebut, pihaknya turut memberikan bantuan awal termasuk bantuan makanan dan wang tunai memandangkan keluarga berkenaan layak untuk dibantu, selain kagum dengan wanita itu yang tidak meminta-minta.
Menurutnya, keluarga itu juga mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan dan turut memproses permohonan bagi penerima bantuan bulanan MAIM memandangkan terdapat dua orang anak yang masih bersekolah, sekali gus diharap mampu meringankan beban keluarga tersebut demi kelangsungan hidup.
"Alhamdulillah permohonan berkenaan sudah pun mendapat kelulusan pihak atasan dan akan terus memantau keluarga ini termasuk anak-anaknya agar mereka mendapat pendidikan yang sewajarnya.
"Selain itu, kita juga merancang untuk membantu baik pulih bumbung rumah yang bocor demi keselesaan enam beranak tersebut," katanya.
Katanya, MAIM sentiasa mengalu-alukan orang ramai berkongsi maklumat sekiranya mendapati ada pihak lain yang daif supaya bantuan sewajarnya boleh diberikan seterusnya menjadi semangat untuk mengubah kehidupan lebih baik dan keluar daripada kepompong kemiskinan.