Jack Ma lelaki luar biasa

Iklan
Jack Ma
Pasti ramai yang biasa mendengar nama Jack Ma.

Seorang jutawan dan usahawan teknologi paling berjaya di dunia dan merupakan pengasas syarikat e-dagang terbesar, Alibaba Group Holding Ltd (Alibaba).

Namun di sebalik nama itu dan kisah-kisah kejayaannya yang dipaparkan di media, ramai yang tidak tahu kecemerlangan yang diraihnya kini adalah hasil tuaian atas kepayahan dan cabaran yang perlu ditempuh sebelum itu.

Usahanya yang sinonim dengan pepatah Melayu:"Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian", ternyata menjadi inspirasi kepada ramai orang dari seluruh dunia yang bercita-cita bangkit meraih kejayaan.

Perjalanan Jack Ma dalam membina empayar perniagaannya kini bermula dari tiada apa-apa. Namun berkat usaha, ilmu dan percaya diri yang dimilikinya, menjadikan lelaki biasa pada asalnya ini berubah menggoncang dunia menerusi perniagaan yang dibina. Dia memang luar biasa!

'Jack' nama pemberian pelancong bawa tuah

Sebelum namanya gah di persada dunia menerusi empayar perniagaan yang dibina, Jack Ma telah tempuh pelbagai dugaan dan kegagalan seawal permulaan hidupnya. Namun, kecekalan dan kesabaran menghadapi kegagalan itu menjadikannya kini usahawan paling berjaya.

Jack Ma hanyalah lelaki biasa berlatar belakangkan seorang guru bahasa Inggeris pada asalnya, namun siapa menduga kini dia adalah pemegang aset kekayaan bernilai lebih AS$20 bilion (AS$1= RM4.1140).

Jack Ma atau nama sebenarnya Ma Yun lahir pada 10 September 1964 di Hangzhou, Zhejiang, China. Kedua ibu bapanya adalah seniman muzikal tradisional China.

Nama ‘Jack’ diberi sewaktu dia menjadi pemandu pelancong apabila salah seorang pelancong sukar untuk menyebut nama Cinanya. Pada ketika itulah, Jack ma belajar bahasa Inggeris untuk memperbaiki pertuturannya.

Kegagalan cetus semangat

Seperti ramai insan lain yang berjaya, Jack Ma juga pernah berhadapan pelbagai liku kehidupan selain masalah penolakan sejak di bangku sekolah hinggalah di alam pekerjaan.

Tetapi itu bukan alasan untuknya berputus asa, sebaliknya kegagalan itulah pencetus semangat untuknya bangkit.

Ketika waktu mudanya, Jack Ma pernah memohon pekerjaan daripada 30 majikan berbeza, namun kesemuanya ditolak. Dia juga pernah memohon pekerjaan di KFC, namun daripada 24 orang yang memohon, hanya 23 yang diterima, di mana dia satu-satunya yang tidak diterima.

Jack Ma juga pernah gagal tiga kali dalam peperiksaan kemasukan ke universiti. Namun, itu tidak menghalangnya menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda dalam Bahasa Inggeris beberapa tahun berikutnya dan menjadi seorang guru.

Jack Ma juga juga pernah memohon menjadi anggota polis bersama lima yang lain. Dia adalah satu-satunya individu dari kumpulannya yang ditolak.

Pada masa lain pula, dia dan sepupunya memohon pekerjaan sebagai pelayan di sebuah hotel bertaraf empat bintang. Tetapi hanya sepupunya yang diterima bekerja.

Permulaan perniagaan internet

Jack Ma tidak mempunyai pengalaman dengan komputer atau pengekodan, tetapi dia tertarik dengan internet ketika menggunakannya pertama kali semasa kunjungan pertamanya ke Amerika Syarikat pada 1995.

Ia menjadi titik tolaknya mengenali apa itu internet. Carian dalam talian pertamanya adalah ‘bir’ tetapi apa yang mengejutkannya, tiada sebarang informasi mengenai perkataan itu dari China.

Bukan sahaja tidak menjumpai informasi mengenai bir, malah tiada sebarang maklumat yang dijumpai mengenai negaranya. Bermula dari situ ideanya datang untuk membangunkan laman web berkaitan China dan berjaya membangunkan laman web berkaitan indeks perniagaan, China Pages sebelum meninggalkan laman tersebut pada 1997.

Yakinkan kawan bangunkan Alibaba

Walaupun pada awalnya, bisnes Jack Ma dua kali gagal, dia tidak putus asa. Pada 1999, dia berjaya mengumpulkan 17 rakannya di pangsapuri miliknya di Hangzhou dan meyakinkan mereka untuk mendirikan dan melabur dalam pasaran atas talian yang kemudian diberi nama ‘Alibaba’.

Mereka mengumpul wang sebanyak AS$60,000 sebagai modal dan memulakan perniagaan atas talian 'Business to Business' (B2B) yang menghubungkan perusahaan-perusahaan kecil dan menengah di seluruh China dengan pelanggan di seluruh dunia.

Mereka memulakan perusahaan e-dagang itu secara sederhana dan ambil masa empat tahun sebelum menjana keuntungan.

Sejak itu, Alibaba memperkembangkan perniagaan yang bermula kecil kepada sebuah organisasi, kini ia memiliki lebih dari 25,000 kakitangan.

Kejayaan ini diikuti pencapaian terbesar apabila mencatat sejarah penjualan saham perdana sehingga AS$25 juta.

Alibaba mula menarik ahli dari seluruh dunia. Pada Oktober 1999, perusahaan tersebut berjaya mengumpulkan AS$5 juta dari Goldman Sachs dan AS$20 juta dari SoftBank, sebuah syarikat telekomunikasi Jepun yang juga membuat pelaburan di syarikat-syarikat teknologi.

Rahsia kejayaan Jack Ma

Sejak muda, kehidupan telah mengajarnya tentang pelbagai cabaran. Jack Ma berkata, dia pernah gagal sebanyak 30 kali ketika mencari kerja, gagal ujian di universiti, ditolak memasuki Universiti Harvard, dan gagal mendapat pekerjaan di KFC.

Dalam ucapannya di Universiti Stanford, Jack Ma berkata:"Tidak seorang pun yang percaya saya mampu melakukan sesuatu yang bermakna di masa depan. Saya tak pernah terfikir untuk memiliki masa depan seperti hari ini.”

Justeru baginya, pengalaman dalam kegagalan bukan sekadar menjadi pembakar semangat juangnya, malah membuatkannya setia pada visi untuk mencipta tempat di mana rakan sekerja dan kakitangannya dapat berasakan bahawa diri mereka adalah sebahagian penting dalam kewujudan Alibaba.

Kesetiaan dan pembangunan semangat berpasukan yang erat menjadi falsafah utama perniagaannya.

Sumber: www.usahawan.com; www.forbes.com; www.investopedia.com

Foto: http://zimbabwe-today.com; www.reuters.com; AFP; www.cgtn.com; Youtube, dailyrakyat.com