KUALA TERENGGANU - Solat Jumaat di Terengganu berjalan seperti biasa memandangkan tiada kes positif wabak koronavirus (Covid-19) direkodkan di negeri ini dan keadaan terkawal.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, setakat ini tiada arahan dikeluarkan untuk membatalkan solat Jumaat di masjid-masjid di negeri ini memandangkan keadaan masih terkawal.
Iklan
Iklan
"Solat Jumaat hari ini berjalan seperti biasa dan para jemaah masjid diingatkan supaya menjaga serta menitikberatkan aspek kebersihan dan kesihatan.
"Kita akan sentiasa memantau situasi semasa dan akan mengumumkan jika terdapat sebarang perubahan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata,
tiada keperluan untuk menghentikan solat Jumaat kerana penularan virus Covid-19 masih terkawal di negara ini.
Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa perubahan dilakukan antaranya memendekkan khutbah Jumaat.
Katanya, orang ramai juga digalakkan untuk mengambil air sembahyang di rumah manakala pengurusan masjid dan jemaah hendaklah menyediakan hand sanitizer (cecair pembasmi kuman) serta penutup hidung dan mulut sebagai langkah pencegahan.