Perbicaraan kes 1MDB ditangguh sehingga terima keputusan Covid-19

Iklan
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pasukan pendakwaan bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini, untuk menjalani pemeriksaan kesihatan berhubung penularan Covid-19.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan kes ditangguh sehingga Khamis depan sementara menunggu keputusan pemeriksaan kesihatan bagi kedua-dua pihak.

Iklan
Iklan

Perkara berkenaan ditetapkan semasa sebutan kes menyelewengkan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion selepas peguam, Noor Farhah Mustaffa menyerahkan surat perintah isolasi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap kakak ipar kepada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.

Menurutnya, surat akuan daripada Hospital KPJ Damansara yang menyatakan Muhammad Shafee menjalani ujian di hospital itu dan dinasihatkan dikuarantin sehingga keputusan diperoleh turut disertakan sekali.

Iklan

"Tan Sri Muhammad Shafee dinasihati untuk menjalani kuarantin di rumah sehingga keputusan kesihatannya diketahui seawal pagi esok.

"Lapan peguam lain dalam pasukan pembelaan Datuk Seri Najib juga akan melakukan perkara sama,” katanya.

Iklan

Mahkamah kemudian mengarahkan Noor Farhah untuk memaklumkan perkembangan mengenai keputusan kesihatan Muhammad Shafee agar mahkamah boleh menetapkan tarikh perbicaraan pada hari Khamis dan Jumaat minggu depan.

Semalam, Hakim mengarahkan Noor Farhah menyediakan dua dokumen akuan rasmi daripada Hospital Sungai Buloh dan KKM berhubung ketidakhadiran Muhammad Shafee yang dikhuatiri terdedah dengan jangkitan Covid-19 ketika mengadakan kenduri di rumahnya di Bukit Tunku di sini Sabtu lalu.

Ekoran daripada itu, Muhammad Shafee diarah untuk menjalani kuarantin diri di rumah oleh KKM selepas didapati berhubung dengan individu yang mempunyai kontak secara langsung dengan pesakit Covid-19.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.