Semua siasatan dalam Mindef tidak akan dihentikan: Ismail Sabri

Iklan
Ismail pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet pertama Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pertahanan tidak akan menghentikan sebarang siasatan membabitkan kementerian itu termasuk berkaitan projek land swap.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, siasatan yang dilaksanakan itu akan diteruskan seperti biasa.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, bagi kes yang dilaporkan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini di bawah tanggungjawab suruhanjaya terbabit.

"Siasatan dalam kementerian yang dulu akan kita teruskan. Kita sudah sebut semalam dari segi Kertas Putih misalnya. Kertas Putih dibentangkan di dalam Parlimen dan diluluskan secara sebulat suara, tak ada isu.

Iklan

"Beberapa pandangan daripada ahli Parlimen akan dikaji. Ketika perbahasan itu banyak pandangan yag dikemukakan ahli Parlimen untuk menambah baik kementerian di bawah Kertas Putih," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet pertama Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Iklan

Dalam mesyuarat tersebut, Ismail berkata, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang memberikan taklimat mengenai kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempertahankan kedaulatan negara.

Menurutnya, beberapa pandangan dibincangkan dalam menambah baik tahap persediaan itu namun atas dasar kerahsiaan, sebarang strategi kementerian tidak didedahkan kepada umum.

"Turut dibincangkan berhubung kebajikan anggota yang sedang bertugas dan veteran tentera.

"Satu lagi mengenai hubungan kita dengan rakyat. Sudah dibincangkan tagline yang saya kira menarik iaitu Tentera dan Rakyat Berpisah Tiada.

"ATM bukan eksklusif tiada hubungan dengan rakyat kerana kita sebahagian dengan rakyat. Kita akan perhebatkan program yang dahulunya telah dilaksanakan di bawah Program Jiwa Murni," katanya.

Dalam pada itu, Ismail memaklumkan bahawa tiada kakitangan atau anggota tentera yang positif Covid-19 setakat ini.

Katanya, kementerian mewujudkan jawatankuasa komuniti menangani penularan virus berkenaan berpandukan arahan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Petang ini saya dipanggil untuk menghadiri jawatankuasa tangani Covid-19 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri.

Ismail berkata, kementerian bersedia menggunakan kemudahannya jika KKM membuat keputusan membawa pulang rakyat Malaysia di luar negara.