PERANG perdagangan Amerika Syarikat dan China memberi implikasi yang sangat hebat, bukan sahaja terhadap kedua-dua negara besar tersebut, malah terhadap negara-negara lain yang terkesan dek kerana mengamalkan prinsip ekonomi pasaran terbuka. Perang perdagangan ini boleh lah juga dikatakan sebagai kalah jadi abu, menang jadi arang, yang akhirnya nanti akan menaikkan harga barangan produk tertentu.
Perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China ini berlaku apabila masing-masing telah meningkatkan tarif ke atas produk yang diperdagangkan ke negara mereka. Ianya dimulakan oleh Amerika Syarikat yang sangat runsing dan ingin membuat perundingan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang kononnya mengatakan bahawa China telah melakukan pelanggaran terhadap hak harta intelektual.
Sebagai tindak balas, China menyangkal dakwaan tersebut dengan alasan bahawa dakwaan itu tidak mempunyai bukti, dan oleh itu tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk bertindak balas berdasarkan peraturan WTO. Sejak itu, kedua-dua pihak tidak dapat bersetuju dengan penyelesaiannya. Pada masa yang sama, Amerika Syarikat dan China telah bertindak balas dengan meneruskan aktiviti perang perdagangan melalui kenaikan tarif. China mengeksport produk perkilangan intensif buruh ke Amerika Syarikat, contohnya barangan elektronik, dan Amerika Syarikat mengeksport komoditi pertanian ke China termasuklah kacang soya, kapas, ikan, tenusu, gandum dan daging babi.
Walaupun perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China ini dikatakan merugikan kedua-dua pihak, tetapi kesan perang perdagangan ini memberikan lembaran baharu kepada beberapa negara lain seperti, Mexico, Eropah dan juga negara-negara Asia kerana negara pengimport seperti Amerika Syarikat dan China mencari alternatif pembekal dari negara-negara lain. Di Mexico, mereka ada membuat perjanjian dikenali sebagai Perjanjian AS-Mexico-Canada yang memudahkan import barangan automotif ke Amerika Syarikat atau Eropah (Pengeksport pertanian). Walau bagaimanapun, keuntungan yang terbesar dari perang perdagangan akan jatuh ke negara-negara di Asia.
Mengikut kajian yang dilakukan oleh the Economist Intelligence Unit (EIU), antara negara-negara Asia, Malaysia dan Vietnam dikategorikan sebagai negara yang bakal mendapat faedah yang kuat hasil daripada peperangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, manakala India, Indonesia dan Thailand ditempatkan dalam kategori"ringan”; dan Filipina, Jepun, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan adalah kategori sebagai negara yang industri ICTnya akan menghadapi gangguan akibat perang perdagangan tersebut.
Hal ini menunjukkan bahawa, untuk barangan yang melibatkan ICT, syarikat-syarikat elektronik utama akan dapat memindahkan pelaburan dan pengeluaran secara lancar kerana mereka mempunyai operasi atau kilang-kilang yang ada di Malaysia, antaranya Dell, Sony dan Panasonic dan di Vietnam, antaranya syarikat Samsung dan Intel. Tambahan pula, Malaysia dan Vietnam mempunyai infrastruktur jalan raya, landasan kereta api dan pelabuhan yang kuat, yang seterusnya membantu membangunkan logistik tempatan yang kukuh dan rangkaian perkapalan untuk menyokong perdagangan barangan. Hal ini diperkukuhkan lagi apabila kedua-dua negara ini merupakan ahli-ahli FTA, dan Komuniti Ekonomi Asean.
Dari segi komoditi pertanian, Amerika Syarikat mengenakan tariff sebanyak 25 peratus ke atas kacang soya. Minyak kelapa sawit dipercayai dapat menggantikan soya dan hal ini akan menjadi semangat untuk Malaysia mengembangkan eksport minyak sawitnya ke China. Antara faktor yang menjanjikan kejayaan kepada negara Vietnam kelak adalah kos upah pekerja yang dikatakan murah, dibayar purata $216 sebulan, kurang daripada separuh apa yang rakan-rakan mereka mendapat di China. Di Vietnam, elektrik juga lebih murah pada 7 sen AS setiap kilowatt jam berbanding 10 sen di Indonesia dan 19 sen di Filipina.
Menurut Bank Dunia, Vietnam juga mempunyai salah satu tenaga buruh terbesar di Asia Tenggara, pada 57.5 juta. Itu berbanding dengan 15.4 juta untuk Malaysia dan 44.6 juta di Filipina. Selain itu, faktor lokasinya juga yang dekat membuatkan kos logistik menjadi lebih murah jika hendak dibandingkan dengan negara-negara lain. Tidak dinafikan juga, Vietnam mempunyai salah satu ekonomi paling pesat berkembang di dunia, dan diramalkan ekonominya akan berkembang pada kira-kira 7 peratus tahun ini. Nilai mata wang Dong juga agak stabil pada 2018, berbanding dengan mata wang lain di Asia seperti Rupee dan Rupiah yang mengalami penurunan besar.
Dari segi industri pakaian, negara yang akan mengalami kesan yang signifikan dalam industri pakaian dan pakaian readymade akibat perang perdagangan AS-China adalah Vietnam, selain Bangladesh dan India. Vietnam merupakan pengeksport ketiga terbesar di dunia pakaian dan mempunyai hubungan perdagangan yang kuat dengan Amerika Syarikat. Pada tahun 2017, Vietnam telah berjaya mengeksport pakaian bernilai US$12.3 bilion ke Amerika Syarikat, mewakili hampir 50% daripada jumlah ekspot pakaian.
Walaupun Vietnam dan Bangladesh sudah menjadi pusat pengeluaran pakaian penting, dalam jangka panjang, tidak akan dapat menghasilkan pada skala yang sesuai dengan China, baik dari segi jumlah dan penyepaduan rantaian bekalan. Selain itu, Vietnam menduduki tangga pertama di kalangan tujuh negara Asia yang baru muncul sebagai destinasi pembuatan oleh Natixis SA, yang meninjau demografi, upah dan kos elektrik, kedudukan menjalankan perniagaan dan logistik, dan pembuatan sebagai sebahagian daripada jumlah pelaburan langsung asing.
Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia janganlah bak kata pepatah"Belum duduk sudah berlunjur” yang membawa maksud belum memperoleh sesuatu yang dihajati tetapi sudah berasa gembira. Apa-apa yang dinyatakan ini adalah bersifat jangkaan dan apa-apa keadaan boleh berlaku. Apa yang penting, rakyat Malaysia mestilah berganding bahu dan turut bersama-sama dengan kerajaan dalam usaha meraih Foreign Direct Investment, mengukuhkan mata wang negara dan sentiasa menyokong barangan buatan Malaysia. Sekiranya ini semua berlaku, sudah tentu Malaysia mampu untuk menjadi ekonomi besar yang disegani di rantau Asia Tenggara.
* Penulis merupakan Pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub