DAP persoal kemampuan Perikatan Nasional

Iklan
Dari kiri: Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar selaku Moderator, penganalis politik, Dr Syarifah Syahirah Syed Sheikh, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen mempersoalkan kemampuan kerajaan Perikatan Nasional yang berjaya membentuk kerajaan tanpa melalui pilihanraya.

Lebih membimbangkan kata ahli Parlimen DAP itu, penubuhan kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga terbentuk tanpa sebarang manifesto.

Iklan
Iklan

"Memang kita tahu bahawa satu kerajaan baharu telah dibentuk hari ini dan memang kita tidak mempertikaikan kredibiliti kerajaan tersebut tetapi apa yang kita pertikaikan adalah legitimasi.

"Ini kerana, kita tahu kerajaan tersebut tidak melalui satu proses pilihanraya.

Iklan

"Bagi saya salah satu perkara yang sudah berkembang sejak 10 tahun lalu dan melalui dua pilihanraya lalu kita melihat trend di mana parti-parti dan gagasan politik semakin menonjol dengan memberikan manifesto kepada rakyat.

"Ini satu perkembangan yang baik kerana rakyat dapat menilai dan juga ada satu penekanan yang lebih diberikan kepada polisi polisi atau dasar dasar," katanya pada Wacana Sinar Harian Siri 160 bertajuk Berubahkah Dasar Dengan Lantikan Menteri Baharu? di Auditorium Karangkraf di Seksyen 15, di sini malam tadi.

Iklan

Wacana Sinar Harian itu turut menampilkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan penganalisis politik, Dr Syarifah Syahirah Syed Sheikh serta moderator Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

Mengulas lanjut, Dr Kelvin berkata, manifesto adalah perkara dasar atau janji seperti yang telah dirangka oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini untuk diberikan kepada rakyat.

"Walaupun kerajaan Pakatan Harapan dihentam disebabkan ada manifesto yang masih belum dapat ditunaikan tetapi bagi saya secara demokrasi, reaksi itu adalah satu perkembangan yang baik.

"Ini kerana rakyat akan dapat menilai perkembangan dan juga prestasi kerajaan menerusi manifesto itu," katanya.

Beliau berkata, persoalan yang timbul kini apabila kerajaan Perikatan Nasional bukan sahaja tidak pernah melalui pilihanraya tetapi juga sebuah kerajaan yang tidak mempunyai manifesto khusus.

"Mereka tidak ada dasar-dasar khusus tetapi (ramai) menteri (baharu) dalam sidang media pertama mereka cuma memberi gambaran dasar yang sangat umum, tidak khusus, tidak menunjukkan visi atau hala tuju Kementerian mereka.

"Ada yang mengatakan mereka cuma akan meneruskan apa yang baik. Ini memang baik tetapi kalau rakyat hendak menilai apakah hala tuju, apakah visi, ideologinya yang akan ditentukan untuk dasar-dasar kemudiannya, jadi susah untuk rakyat menilai.

"Mungkin mereka boleh cakap akan meneruskan Dasar Kemakmuran Bersama tetapi itu satu plan jangka masa panjang iaitu sampai tahun 2030 tetapi setiap rancangan yang ada untuk dasar, kita harus tahu rancangan dalam jangkamasa panjang, sederhana dan juga jangka masa pendek," katanya.

Sehubungan itu, setiap kerajaan memerlukan manifesto dan manifesto itu adalah setiap langkah yang diambil untuk mencapai satu plan jangka masa panjang namun tiada pada kerajaan baharu pada hari ini.

"Bagaimana mereka akan tentukan jika beberapa pihak dalam kerajaan baharu ini bercanggah pendapat kerana setiap parti yang ada dalam Perikatan Nasional ini mempunyai ideologi dan latar belakang berbeza.

"Kalau ada percanggahan, kalau ada konflik bagaimana mereka akan selesaikan, tidak ada manifesto, tidak ada kerangka mereka secara bersama, tidak ada Majlis Presiden untuk Perikatan Nasional," katanya.

Dr Kelvin berkata, keadaan kerajaan Perikatan Nasional itu jelas berbeza berbanding kerajaan Pakatan Harapan.

"Ini kerana, dalam Pakatan Harapan jika ada konflik, dokumen pertama dirujuk adalah melalui manifesto, kalau masih tidak menyelesaikan isu itu kita akan pergi kepada Majlis Presiden dan semua parti dalam Pakatan Harapan untuk dapat satu keputusan.

"Tetapi model Perikatan Nasional tidak ada semua itu jadi bagaimana kita dapat menilai dasar dasar yang ada dan hala tujunya," katanya.