KUALA LUMPUR - Seramai 22 individu termasuk empat wanita dipercayai ahli Geng Manggo yang terlibat dalam sindiket penipuan pinjaman tidak wujud diberkas dalam serbuan berasingan di Jalan Setapak dan Jalan Off Genting Klang di sini Selasa lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sepasukan polis dari Bahagian Operasi dan Teknik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan Kuala Lumpur melakukan serbuan ke atas dua premis yang dijadikan pusat panggilan.
"Kita telah menahan enam individu termasuk tiga wanita ketika serbuan pertama pada jam 6.54 petang di Jalan Setapak. Polis turut merampas 19 telefon bimbit dan 14 buku nota," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Mazlan berkata, susulan itu 16 individu lagi diberkas termasuk seorang wanita dalam serbuan kedua pada jam 9.15 malam di sebuah premis di Jalan Off Genting Klang.
"Kita turut merampas 36 telefon bimbit pelbagai jenama, dua unit komputer riba, sebuah Ipad dan 14 buku nota," katanya.
Menurutnya, sindiket itu bergiat aktif sejak Januari lalu dan mengiklankan tawaran pinjaman melalui media sosial seperti aplikasi WhatsApp, Facebook dan Line
"Sindiket itu mengarahkan mangsa menyerahkan sejumlah wang dengan alasan untuk proses perkhidmatan dan cukai pinjaman," katanya.
Mazlan berkata, penahanan itu dapat menyelesaikan 29 kes yang dilaporkan di seluruh negara membabitkan kerugian RM150,000.
"Kita masih memburu dalang sindiket ini yang dikenali sebagai Manggo. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur, 03-21559999," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.