SHAH ALAM – Semua peserta program Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu digesa segera menjalani pemeriksaan di klinik atau hospital berdekatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, gesaan itu dibuat kerana beliau sentiasa prihatin dengan nasib ummah di negara ini.
"Inilah nasihatku, buat sahabat jemaah tabligh yang dikasihi. Kami rafakkan syukur kepada-Nya atas nikmat dan kurnia yang tidak terhingga.
"Saya mengambil cakna dan amat prihatin akan titah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.
Tambahan pula, saya baru sahaja sembah menghadap Baginda sebelum solat Jumaat dan itulah yang ditekankannya.
"Justeru, pergilah ke hospital atau klinik kesihatan yang berdekatan untuk menjalani pemeriksaan,” katanya menerusi catatan di Facebook beliau hari ini.
Katanya, beliau berharap supaya wabak Covid-19 yang melanda negara ini akan berakhir.
"Saudaraku, saya amat sayang kepada anda semua yang sentiasa memikirkan nasib ummah.
"Semoga wabak Covid-19 berarak pergi dan sinar kegembiraan dengan nikmat kesihatan singgah berlabuh ke bumi Malaysia,” katanya.
Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, seorang warga emas berusia 60 tahun didapati positif Covid-19 selepas menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling.
Warga tempatan itu adalah kes ke-131 yang dikesan Kementerian Kesihatan dan mula mempunyai gejala deman, batuk serta selesema pada 4 Mac lalu.
Beliau berkata, pesakit itu sesak nafas pada 8 Mac dan dimasukkan ke Hospital Bentong pada hari yang sama.