Malaysia disyor buat ujian pengesanan Covid-19 menerusi pandu lalu

Iklan
Malaysia disyorkan melakukan ujian pengesanan koronavirus (Covid-19) secara pandu lalu di kawasan awam bagi memudahkan ujian itu dilakukan sebagaimana yang dilakukan di Korea Selatan sehingga mereka berjaya membendung penularan wabak itu.

SHAH ALAM - Malaysia disyorkan melakukan ujian pengesanan koronavirus (Covid-19) secara pandu lalu atau drive-through di kawasan awam bagi memudahkan ujian itu dilakukan sebagaimana yang dilakukan di Korea Selatan sehingga mereka berjaya membendung penularan wabak itu.

Pakar Runding Pediatrik dan Neonatalogi Hospital Pakar KPJ Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin berkata, ujian itu merupakan salah satu langkah proaktif di negara berkenaan sehingga berjaya mengurangkan bilangan kes positif Covid-19 daripada 900 sehari kepada kurang 100 sehari.

Iklan
Iklan

"Model pandu lalu telah dilakukan (replikasi) di Hospital Pakar KPJ Damansara (KPJ-DSH) dan Hospital Sungai Buloh.

"KPJ-DSH telah mengendalikan ujian mudah alih pandu lalu Covid-19 di beberapa premis syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai sebahagian daripada ujian individu yang mempunyai kontak dengan kes ke-26," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Mengulas lanjut, belian berkata, dalam menangani penularan Covid-19 itu, negara perlu terus memantau melalui pemeriksaan demam dan ujian Reaksi Berantai Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR), mengesan kes positif dan mengasingkan kes yang didapati positif.

Dr Musa berkata, kuarantin sendiri harus dinasihatkan dalam tetapan klinikal yang sesuai.

Iklan

Selain itu, katanya, Malaysia juga perlu memastikan bekalan kit ujian saringan untuk mengesan Covid-19 mencukupi dan tindakan cepat dibuat untuk menjaga rantaian bekalannya.

"Korea Selatan menjalankan antara 12,000 hingga 20,000 setiap hari. Sebelum diisytiharkan 'lockdown' di Itali, mereka hanya melakukan 20,000 ujian.

"Hanya 4,000 ujian dilakukan di Amerika Syarikat kerana kit ujian saringan terhad sebelum Covid-19 diisytiharkan sebagai pandemik global.

Berikutan itu, katanya, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Amerika Syarikat tidak mengetahui penularan penyakit Covid-19 dalam komuniti mereka yang menjadikan sangat sukar mendapatkan sokongan orang ramai untuk program kesedaran awam.

Mengenai kuarantin katanya, satu lagi langkah berkesan yang perlu dipertimbangkan dengan teliti adalah peralihan daripada halangan fizikal dan perundangan ke arah mewujudkan halangan sosial yang sihat seperti saranan dalam kaedah menangani penyakit berjangkit.

"Bandar-bandar yang mengamalkan halangan sosial semasa pandemik 'Spanish Flu' pada 1918 mengalami kesan paling sedikit akibat wabak Influenza H1N1.

"Strategi menjauhkan diri (sosial) ini membabitkan amalan kebersihan, etika batuk, mengelakkan pergi ke tempat ramai orang, tidak bersalaman, pelukan dan ciuman dan tinggal di rumah ketika tidak sihat," katanya.

Jelasnya, amalan itu juga melibatkan pemakaian topeng jika tidak sihat dan masih perlu keluar, tinggal di rumah untuk kumpulan berisiko tinggi seperti wanita hamil, bekerja dari rumah, membatalkan semua acara besar seperti sukan, agama, persidangan serta penutupan sekolah, teater, masjid dan gereja.

Dalam pada itu, Dr Musa berkata, pengesanan kontak secara manual boleh menjadi sangat susah dan memakan masa dan mungkin tidak berjaya menjejaki orang yang lemah.

"Sudah tiba masanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggunakan teknologi sistem kedudukan global (GPS) dan maklumat untuk pengesanan kontak.

"Di Korea Selatan, semua pelancong yang masuk ke negara berkenaan direkrut ke dalam satu aplikasi mudah alih periksa kesihatan sendiri yang tidak hanya menjejaki pelawat tetapi mengesan mereka berada," katanya.