KUALA KANGSAR - Pas Perak menyifatkan pemilihan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak ke-13 sebagai tepat atas pengorbanannya meletakkan jawatan sebelum ini.
Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, pembentukan kerajaan Perak yang baharu hasil tindakan peletakan jawatan Menteri Besar Perak ketika memimpin Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, melalui pelantikan itu, kerajaan negeri selepas ini dapat memberikan tumpuan kepada cabaran ekonomi dan kesihatan disebabkan ancaman koronavirus (Covid-19).
"Pihak Istana telah membuat pemilihan paling tepat kerana kerajaan ini terbentuk hasil pengorbanan dibuat Ahmad Faizal yang meletak jawatan dan wajar diteruskan (di bawah kerajaan baharu).
"Bagi pihak Pas, kita menyeru seluruh rakyat untuk menerima keputusan dengan terbuka," katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak ke-13 di Istana Iskandariah, di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Faizal angkat sumpah MB Perak ke-13
Sementara itu, ditanya mengenai posisi exco kerajaan negeri, Razman berkata, belum ada sebarang perbincangan dibuat.
Katanya, semua pimpinan Perikatan Nasional akan duduk berbincang mengenai perkara tersebut.