Saya antara manusia bertuah, kata MB Perak

Iklan
Ahmad Faizal (kanan) bersyukur peralihan jawatan Menteri Besar Perak ke-13 berjalan lancar.

KUALA KANGSAR - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan dirinya sebagai individu bertuah apabila pelantikannya sebagai Menteri Besar Perak ke-13 diterima baik Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional.

Menurutnya, keadaan itu disifatkan sebagai permulaan yang baik bagi setiap ahli politik dengan meletakkan pentadbiran kerajaan negeri mengatasi politik kepartian.

Iklan
Iklan

"Saya antara manusia bertuah di muka bumi Perak ini kerana rakan-rakan yang bersama dalam pentadbiran dahulu menerima peralihan dalam suasana sangat baik.

"Saya juga bersyukur melihat rakan-rakan dalam pentadbiran sekarang bersikap berlapang dada menerima perkara ini tanpa tergopoh-gapah.

Iklan

"Malah saya terharu kerana dalam perjalanan ke istana pagi tadi, saya terbaca laporan berita ucapan tahniah daripada Pengerusi Amanah (Parti Amanah Negara) Perak, Datuk Asmuni Awi atas pelantikan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas istiadat angkat sumpah jawatan dan menandatangani watikah Menteri Besar Perak ke-13 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Iklan

Pelantikan Ahmad Faizal, 50, susulan pembentukan kerajaan baharu menerusi gabungan Perikatan Nasional terdiri daripada UMNO, Pas dan Bersatu yang memperoleh sokongan 32 daripada keseluruhan 59 ADUN.

Beliau sebelum ini dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang ke-12 selepas kerajaan PH berjaya membentuk kerajaan di Perak pada 2018 lalu.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang itu berazam untuk memastikan apa juga pelaksanaan dilakukan kerajaan negeri adalah demi kepentingan rakyat dan bukan untuk mana-mana parti atau puak.

"Sebagai Menteri Besar, saya mengharapkan sokongan dan kerjasama semua wakil rakyat termasuk barisan pembangkang untuk memajukan negeri ini, meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik masing-masing," katanya.