ATM siap sedia bawa pulang rakyat Malaysia di Itali

Iklan
Ismail Sabri ketika sidang media di Wisma Pertahanan hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (Mindef) bersiap sedia untuk menggerakkan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Itali selepas wabak Covid-19 diisytiharkan sebagai pandemik.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ATM dalam keadaan bersiap sedia jika diperlukan untuk misi bantuan kemanusiaan.

Iklan
Iklan

Setakat ini, katanya, Mindef menunggu arahan daripada Kabinet sekiranya hendak menggunakan pesawat ATM.

"Insya-ALLAH, kami bersedia dan sebarang tindakan hanya dapat diputuskan apabila kerajaan membuat keputusan untuk membawa pulang rakyat Malaysia di luar negara," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet pertama bagi kementeriannya di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Iklan
Ismail Sabri (dua dari kanan) ketika sidang media di Wisma Pertahanan hari ini. - Foto Bernama

Ismail Sabri berkata, tiada kes penularan wabak Covid-19 melibatkan warga ATM dan pihaknya sentiasa mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan virus itu selain bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung perkara itu.

"Setakat ini, tiada seorang yang dilaporkan dari kementerian saya disahkan positif Covid-19 dan satu jawatankuasa khas untuk menangani wabak berkenaan diwujudkan. Oleh itu, setiap pegawai dan anggota ATM diminta mengambil langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak Covid-19 termasuklah penugasan ATM di dalam dan luar negara,” katanya.

Iklan

Ismail Sabri berkata, sebarang penugasan melibatkan warga ATM di dalam dan luar negara masih berjalan seperti biasa namun langkah-langkah pencegahan Covid-19 dipertingkatkan.

"Setiap pegawai dan anggota ATM akan diberikan pendedahan tentang langkah berjaga-jaga. Tidak kira di kementerian, mana-mana kem atau di mana-mana sahaja mereka bertugas," katanya apabila ditanya mengenai anggota tentera yang terlibat dalam sebarang misi di luar negara. - Bernama