KUALA LUMPUR- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini menggesa agar segera menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Kecemasan (EAC) untuk menangani pandemik koronavirus (Covid-19) yang katanya memberi kesan ke atas kesihatan dan kehidupan pekerja.
Setiausaha Agung MTUC J. Solomon berkata, pakej baharu yang lebih besar sangat diperlukan dan cadangan EAC dapat memastikan bantuan yang lebih komprehensif kepada sektor ekonomi dan pekerja yang terlibat.
"MTUC bimbang syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines dan Malindo Air yang mendesak pekerjanya untuk mengambil cuti tanpa gaji selepas kebanyakan negara di seluruh dunia mengenakan sekatan perjalanan yang meluas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Solomon berkata selain sektor penerbangan dan pelancongan, pandemik Covid-19 juga melumpuhkan perdagangan antarabangsa dan turut menggegarkan pasaran Malaysia, dengan harga saham dan hasil pulangan bon turut jatuh.
Sementara itu, MTUC turut mencadangkan empat garis panduan untuk dimasukkan dalam pakej rangsangan baharu untuk memastikan kebajikan dan kehidupan pekerja tidak teruk terjejas kesan Covid-19.
"Garis panduan itu ialah menangguhkan pinjaman perumahan, pendidikan dan ansuran kenderaan tanpa mengenakan apa-apa penalti bagi kumpulan B40 dan M40 sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan.
"Semua penerima bantuan kebajikan termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diberi bayaran secara one-off sebanyak RM500.
"Semua pesara dalam B40 dan M40 juga diberi bayaran one-off RM500 dan semua pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000 diberi sekali sahaja RM1,000,” katanya.-Bernama