KUALA LUMPUR- Polis Kuala Lumpur mengambil langkah berjaga-jaga di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, dengan mempertingkatkan langkah pencegahan susulan penularan koronavirus (Covid-19).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, ini berikutan seorang anggotanya yang bertugas di IPK Kuala Lumpur, dipercayai mempunyai simptom Covid-19.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, ketika ini anggota berkenaan telah dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan Covid-19 dan masih menunggu keputusan ujian.
"Walaupun kami belum tahu keputusan pemeriksaan kesihatan anggota itu, tetapi kami telah membuat perancangan dan mengambil tindakan cepat dengan menjalankan operasi sanitasi di lif-lif dan kawasan sekitar IPK.
"Selain itu, majlis yang melibatkan orang ramai juga akan dikurangkan, sebagai langkah pencegahan Covid-19 dalam kalangan pegawai dan anggota polis yang bertugas di IPK Kuala Lumpur," katanya dalam sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Mazlan turut menasihati semua pegawai dan anggota polis supaya menggunakan topeng muka dan cecair pembasmi kuman dengan lebih kerap, kerana operasi-operasi pencegahan jenayah masih diteruskan.
Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengklasifikasikan Covid-19 sebagai pandemik.-Bernama