Al-Maunah tewas di Bukit Jenalik

Iklan
Zaini mengimbau kenangan sewaktu menerima Pingat Keberanian Seri Pahlawan Gagah Perkasa oleh Yang Di-Pertuan Agong Almarhum Sultan Abdul Aziz Shah Al- Haj

TRAGEDI Bukit Jenalik, Sauk, Perak pada 2 Julai 2000 cukup meninggalkan kesan ke atas pasukan keselamatan negara selepas dikatakan gagal menghidu perancangan sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Al-Maunah menceroboh dua buah kem dan melarikan sejumlah senjata api tanpa disedari.

Kumpulan tersebut menyamar dengan pakaian dan pangkat pegawai kanan tentera serta menaiki tiga unit kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero yang diwarnakan dengan warna hijau serta menggunakan nombor pendaftaran palsu yang bermula dengan huruf ‘Z’ untuk menyelinap masuk ke Kem Kuala Rhui dan Kem Batalion 304 Rejimen Askar Wataniah di Empangan Temenggor, Gerik, Perak.

Iklan
Iklan

Biarpun sudah dua dekad berlalu, peristiwa itu masih segar dalam ingatan bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd Said, 74.

Beliau berkata, kumpulan Al-Maunah terbentuk kerana taksub pengikutnya terhadap ketua kumpulan itu, Mohamed Amin Mohamed Razali.

Iklan
Mohamed Amin bersama dua lagi pengikutnya dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada tahun 2006.

Menurutnya, Mohamed Amin bijak menyakinkan pengikutnya bahawa dia mempunyai ilmu tertentu yang boleh menjadikan pengikutnya seramai 29 orang kebal dan mampu menghilangkan diri jika diserang.

"Mohamed Amin menyakinkan pengikutnya bahawa perjuangannya adalah di jalan yang benar dan mereka yang berjuang bersamanya akan menjadi kebal dan tidak boleh ditembusi oleh peluru dan apa jua jenis senjata,” katanya.

Iklan

Bayangkan dengan pengaruh mistik yang dibawa olehnya dia mampu membuat perancangan rapi untuk menceroboh dua kem tentera yang dikawal ketat.

"Siapa berani ceroboh kem tentera? Nak cari nahas tapi Mohamed Amin berlakon dan tahu prosedur tentera hingga boleh memperdaya anggota di dalam kem bahawa mereka adalah anggota tentera yang sebenar telah memaklumkan kepada pegawai yang memerintah di kem tersebut untuk melakukan pemeriksaan mengejut ke atas peluru dan senjata yang disimpan di dalam stor kem itu.

"Kumpulan itu memberi pelbagai alasan bagi menyakinkan serta memperdayakan anggota tentera yang bertugas di dua kem tersebut sebelum kumpulan itu melarikan sebanyak 114 laras senjata api pelbagai jenis bersama lebih 18,000 butir peluru dari kedua-dua kem tersebut,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Buat laporan polis

Zaini berkata, pihaknya telah membuat laporan polis dan perkara itu juga telah dimaklumkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai pada ketika itu.

"Saya telah dimaklumkan mengenai perkara itu pada jam 8.30 pagi. Pada awalnya, kita tidak mengetahui siapa kumpulan itu serta tempat persembunyian mereka selepas insiden itu,” katanya.

Zaini berkata, dia telah berdoa kepada ALLAH SWT agar diberikan petunjuk mengenai kumpulan itu.

"Saya berasa bersyukur pada keesokan harinya, kita telah menerima laporan berhubung bunyi tembakan yang jarang didengar oleh penduduk kampung di lokasi persembunyian kumpulan yang diketuai oleh Mohamed Amin di Bukit Jenalik, Sauk, Perak.

"Barulah kita tahu rupanya kumpulan itu berniat menggunakan senjata yang dilarikan itu untuk mencetuskan huru-hara dan menggulingkan kerajaan sedia ada,” katanya.

Zaini

Zaini berkata, seramai 300 anggota tentera telah dihantar mengepung kawasan itu bagi menyekat pergerakan kumpulan berkenaan.

"Cara yang terbaik untuk menumpaskan kumpulan itu adalah kepung, serang dan jangan bunuh, tetapi tawan kumpulan itu hidup-hidup,” katanya.

Menurutnya, PDRM telah mengambil alih operasi itu, di mana sejumlah anggota pasukan keselamatan dihantar untuk menyusup masuk ke dalam perkhemahan Al-Maunah.

"Namun dua anggota polis iaitu Sarjan Mohd Shah Ahmad, Detektif Koperal R Sanghadevan, anggota komando Grup Gerak Khas Angkatan Tentera Malaysia Truper Mathew Medan dan penduduk kampung Jaafar Puteh telah dijadikan tebusan oleh kumpulan itu,” katanya.

Mohamed Amin ditumpaskan

Pada 6 Julai 2000, pihak polis menggunakan pendekatan daripada aspek keagamaan, emosi, kekeluargaan dan muhasabah diri untuk meleraikan ketegangan yang berlaku, akhirnya dua anggota kumpulan tersebut telah menyerah diri.

Pihak polis kemudiannya meneruskan usaha untuk memujuk ahli kumpulan yang lain dan ianya membuahkan hasil apabila dua lagi anggota kumpulan menyerah diri menjelang waktu tengah hari, kemudian dianggarkan kira-kira tujuh ahli kumpulan itu telah keluar menyerah diri.

Zaini berkata, seorang pegawai polis, Ketua Inspektor Abd Razak Mohd Yusof telah bertemu secara empat mata dengan anggota kumpulan penjenayah dalam usaha memujuk mereka menyerah diri.

"Kemudian, saya bersama seorang pegawai polis, Senior Asisten Komisioner Abdul Hadi Mahmood berunding dengan kumpulan itu sebelum saya ditinggalkan berseorangan dengan ketua kumpulan tersebut iaitu Mohamed Amin,” katanya.

Beliau berkata, Mohamed Amin kemudian mengacukan senjata api M203 ke arahnya.

"Saya cuba bertenang dan buat dua atau tiga langkah ke kanan, namun dia tetap mengacukan senjata api ke arah saya. Saya beritahu Mohamed Amin bahawa saya tidak bersenjata sambil mengangkat baju untuk menenangkan dia,” katanya

Zaini berkata, dia kemudian berundur sambil pusing ke belakang untuk meredakan keadaan.

"Dalam masa sama, saya sekali lagi berdoa kepada ALLAH SWT supaya melindungi diri saya serta mampu untuk menjatuhkan Mohamed Amin. Saya kemudian pusing kembali menghadap Mohamed Amin sambil memprovokasinya.

"Dia cuba untuk menembak saya dari jarak dekat, namun saya bertindak menepis senjata apinya, peluru yang dilepaskan itu terkena salah seorang pengikutnya,” katanya.

Menurutnya, dalam pergelutan kira-kira seminit dengan Mohamed Amin, akhirnya lelaki itu berjaya ditumpaskan.

"Kejayaan itu sekali gus menamatkan krisis tersebut dan juga operasi empat hari pasukan polis dan tentera di bukit itu,” katanya.

Zaini (belakang, lima dari kanan) ketika bertugas di Konjic, Bosnia pada 1995.

Dua anggota keselamatan terkorban

Tragedi hitam itu juga turut mengorbankan dua anggota keselamatan yang terbabit dalam operasi itu iaitu Sanghadevan dan Truper Mathew.

Zaini berkata, kejadian itu disifatkan peristiwa terbesar di negara ini dan tidak pernah terlintas di fikirannya tragedi seperti itu akan berlaku selepas negara mencapai kemerdekaan.

"Peristiwa Bukit Jenalik itu dilihat oleh rakyat Malaysia sebagai satu insiden yang meletakkan pasukan keselamatan (tentera dan polis) di peringkat tertinggi dalam menjaga keamanan negara,” katanya.

Beliau turut dianugerahkan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa atas keberanian dan sumbangannya menamatkan keganasan itu tanpa mempedulikan nyawa sendiri.

"Saya berharap agar peristiwa sedemikian tidak akan berulang lagi, jangan kita sesekali lalai dalam melaksanakan tanggungjawab kerana musuh sentiasa ada pada sesuatu masa dan cara ancamannya pula berbeza,” katanya.