SHAH ALAM - Penolakan rakyat terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya dalam kalangan orang Melayu kerana dilabel sebagai liberal sudah diketahui umum.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, bagaimanapun sikap liberalisme Anwar itu tidak begitu popular kepada mereka berbanding kaum lain di negara ini.
"Fahaman liberalisme terhadap penyatuan kaum di negara ini yang sering diperkatakan Anwar memberi kesan terhadap persepsi negatif masyarakat Melayu Islam.
"Ini kerana bagi masyarakat Melayu yang masih berpegang kepada pegangan agama Islam termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan satu mandatori yang harus dipertahankan," katanya.
Dr Syed berkata, sikap liberalisme pemimpin politik terbabit juga menyebabkan berlakunya konflik dalam kalangan masyarakat Melayu di negara ini.
Menurutnya, perkara itu terbukti apabila rangkaian perhimpunan-perhimpunan reformasi anjuran orang Melayu suatu ketika dahulu kurang mendapat sambutan.
"Mereka juga meminta kerajaan mengekalkan polisi berkaitan keistimewaan Melayu dan bumiputera serta tidak berlembut terhadap ancaman terhadap agama Islam dalam urusan pentadbiran negara," katanya.
Beliau mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa orang Melayu tidak menyokong Anwar kerana falsafah politik pemimpin terbabit yang liberal.
Dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Harian, Dr Mahathir berkata, orang Melayu belum boleh menerima ideologi liberalisme kerana takut kedudukan mereka terancam kerana mereka hanya ada kuasa politik.
Mengulas lanjut, Dr Syed bagaimanapun berpendapat Dr Mahathir tidak perlu memberi gambaran negatif terhadap pemimpin sebaliknya lebih bersikap sebagai negarawan yang banyak menabur bakti dalam arena politik tanah air.
ARTIKEL BERKAITAN: Orang Melayu tidak percaya Anwar sebab tubuh parti liberal
Beliau menyarankan agar mantan Perdana Menteri itu dapat menggunakan kebijaksanaannya untuk memberi teguran atau cadangan kepada kerajaan sekarang adalah hal kepentingan rakyat dan negara.
"Adalah lebih baik Dr Mahathir tidak mengeksploitasikan isu atau situasi boleh mengeruhkan perpaduan nasional yang dibina menerusi pembentukan kerajaan sekarang dan merancakkan politiking dalam kalangan rakyat.
"Beliau sebaliknya perlu memastikan kerajaan sekarang terus bekerja dan melaksanakan polisi yang memberi kebaikan kepada rakyat dan negara," katanya penganalisis komunikasi itu.
Dr Syed berkata, adalah lebih baik jika wujud mekanisme 'check and balance' yang lebih komprehensif dan menilai kejayaan secara holistik terhadap program dan polisi bakal dilaksanakan kerajaan sekarang.
"Antaranya mencadangkan dan memberikan kritikan dan pada masa yang sama memberikan pandangan penyelesaian terhadap masalah dan cabaran aspirasi negara dan rakyat di negara.
"Ini penting untuk memastikan negara bergerak maju dan progresif mencapai aspirasi negara maju pada tahun 2035 yang telah termaktub dalam Wawasan Kemakmuran Bersama," katanya.