Penyeludup upah ‘sapu air’

Iklan
Antara kejayaan APMM dalam mengekang aktiviti penyeludupan rokok melalui perairan negara.

TONTO dibayar oleh sindiket tertentu untuk menjaga dan menggagalkan operasi pihak berkuasa terutama melibatkan premis perniagaan haram perjudian, pelacuran dan sebagainya.

Namun kini, tonto diupah oleh penyeludup untuk memastikan aktiviti penyeludupan haram yang dijalankan tidak diganggu pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Turut dikenali sebagai ‘sapu air’, tonto yang menjalankan aktiviti penyeludupan rokok ini tergolong dalam kegiatan jenayah terancang melibatkan elemen lain seperti ejen, pembawa bot, pemunggah dan kenderaan laut atau pun darat.

Itu antara modus operandi terbaru yang dikesan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang digunakan oleh penyeludup bagi memastikan kegiatan mereka tidak dapat dihidu pihak berkuasa.

Iklan

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, sindiket penyeludupan rokok ini merupakan sindiket yang didalangi warga tempatan.

Mohammad Rosli

Menurutnya, tonto (sapu air) ini berada merata bergantung kepada lokasi pendaratan rokok yang dibawa masuk daripada negara jiran.

Iklan

"Tonto ini berperanan memantau di kawasan yang ditetapkan sebelum rokok dibawa masuk dan akan melaporkan kehadiran pihak berkuasa kepada penyeludup rokok terbabit. Berdasarkan maklumat dan risikan yang kita perolehi, sapu air ini menyamar sebagai pemancing atau nelayan.

"Selain itu, ada juga tonto darat yang akan memantau proses pemunggahan rokok. Kita juga terima laporan ada sapu air atau tonto ini akan menghalau nelayan lain dan merampas telefon bimbit mereka bagi memastikan mereka tidak melaporkan kegiatan penyeludupan itu dilaporkan kepada pihak berkuasa.

"Dipercayai mereka ini diupah oleh sindiket dengan bayaran RM300 hingga RM500 untuk satu tugasan," katanya kepada Sinar Harian.

Tonto ini kebanyakannya diambil bekerja daripada individu yang mempunyai masalah kewangan ataupun dalam kalangan penganggur.

Guna bot pancung, tekong pengalaman

Menjelaskan tentang jenis bot yang sering digunakan dalam aktiviti penyeludupan rokok, beliau memberitahu, bot pancung dan bot barter trade merupakan bot yang digunakan yang mana ia mempunyai peranan masing-masing.

Bot pancung merupakan bot laju yang terus memasuki ke perairan negara, manakala bot barter trade akan berhenti di pertengahan perairan sempadan Malaysia-Indonesia sebelum memindahkan rokok seludup kepada bot tempatan lain.

"Bot pancung ini kebiasaannya menggunakan dua hingga lima enjin dengan kelajuan yang tinggi. Bot ini boleh memuatkan 150 sehingga 300 guni rokok dan mengambil masa kurang dari dua jam untuk sampai ke perairan kita dari negara jiran.

"Kebiasaannya bot ini membawa rokok jenis keretek akan terus masuk ke kawasan yang telah ditentukan penghantarannya," katanya.

Bagi bot barter trade pula, bot yang dikenali sebagai bot tukaran barang ini mempunyai saiz besar dan boleh memuatkan sehingga 3,000 guni rokok.

Antara bot barter trade yang disita selepas dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan.

Rosli berkata, sindiket ini beroperasi pada waktu malam hingga awal pagi.

"Ini kerana waktu ini adalah masa paling sesuai untuk mereka beroperasi berikutan keadaan yang gelap selain memberi kelebihan kepada mereka untuk menyukarkan operasi dikesan.

"Sindiket akan menggunakan tekong yang berpengalaman dan mahir dalam memastikan penghantaran selamat sampai ke destinasi yang ditetapkan,” katanya.

Kemudian, rokok yang berjaya dibawa naik ke darat akan dibawa menaiki kenderaan mewah seperti Toyota Vellfire dan Estima bagi mengelirukan pihak berkuasa apatah lagi dengan menggunakan cermin gelap. Tidak dinafikan juga ada sindiket yang menggunakan lori kecil bersaiz satu dan dua tan.

Jelasnya, kenderaan mewah ini akan dikosongkan untuk diisi dengan rokok-rokok keretek mahu pun rokok putih yang berjaya dibawa masuk.

Kawasan 'panas'

Mengulas lanjut, mengikut rekod tangkapan dan maklumat yang diterima, sebanyak 10 kawasan panas atau hotspot pendaratan rokok di perairan Selangor dikesan.

"Lokasi itu adalah Sungai Bernam, Sungai Besar, Tanjung Karang, Kuala Selangor, Pulau Ketam, Sungai Air Hitam, Sungai Langat, Tanjung Gabang, Tanjung Sepat dan Sungai Sepang.

"Faktor hotspot ini adalah disebabkan ia berhampiran dengan negara jiran dan memudahkan sindiket untuk bergerak," katanya.

Tambahnya, selain itu faktor lain adalah kerana kawasan itu juga lebih sunyi dan kurangnya laluan orang awam.

Menurut Rosli, beliau tidak nafikan kemungkinan wujudnya pembabitan penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket.

"Kemungkinan tetap ada tapi peratusannya adalah rendah. Mungkin disebabkan penguat kuasa terbabit lebih mengetahui selok-belok dan pergerakan aset pasukan rondaan.

"Bagaimanapun, ia bukanlah penghalang bagi kita untuk terus membanteras dan mengekang kemasukan rokok seludup. Malah ia akan dijadikan sebagai satu cabaran untuk kita terus gigih dan komited dalam menjalankan tugas," katanya.

Rokok seludup murah, permintaan tinggi

Faktor harga yang murah selain permintaan tinggi menjadi perkara utama yang menggalakkan kegiatan haram terbabit.

Rosli berkata, rokok seludup ini murah dan sindiket tidak perlu membayar cukai.

"Jadi bila ia murah pasaran dalam negara akan mempunyai permintaan tinggi sekali gus sindiket ini terus berusaha untuk teruskan kegiatan ini dalam apa jua cara,” katanya.

Justeru, aktiviti penyeludupan secara haram ini perlu ditangani dengan baik kerana ia menyebabkan pendapatan hasil negara yang banyak dari segi duti kastam hilang yang mana hasil negara itu boleh digunakan untuk pembangunan negara.

Katanya, beliau percaya dalam usaha sindiket untuk menyeludup masuk rokok ini, mereka akan sentiasa mengubah modus operandi bagi menyukarkan kegiatan itu dikesan pihak berkuasa.

"Kita akan terus dan kerapkan rondaan laut dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Tumpuan khusus juga dibuat di lokasi-lokasi hotspot," katanya.

Rosli berkata, kes penyeludupan rokok ini disiasat mengikut Akta Kastam 1967.