Waktu lawatan semua hospital di Pulau Pinang dipendekkan

Iklan
Gambar hiasan

GEORGETOWN - Berikutan peningkatan kes jangkitan koronavirus (Covid-19), semua hospital di Pulau Pinang mengambil langkah segera bagi mengurangkan risiko jangkitan virus itu dalam kalangan pesakit, pelawat dan staf hospital.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib berkata, antara langkah yang diambil ialah menghadkan bilangan pelawat ke wad dan sama sekali melarang kanak-kanak berumur kurang 12 tahun ke bawah untuk melawat.

Iklan
Iklan

"Selain itu, masa melawat di semua hospital di Pulau Pinang juga dipendekkan kepada 1 tengah hari hingga 2 petang dan 5 petang hingga 6.30 petang setiap hari termasuk cuti umum," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya peraturan itu berkuat kuasa serta-merta dan sebarang perubahan akan diberitahu kelak.

Iklan

Sementara itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menafikan penutupan sebuah kedai kopi di Bandar Baru Air Itam di sini disebabkan wabak Covid-19 sebaliknya premis perniagaan tersebut ditutup kerana faktor kebersihan.

MBPP dalam kenyataan berkata, kedai kopi itu diarahkan ditutup selama 14 hari bermula 6 Mac lalu selepas pemeriksaan pihaknya mendapati kedai tersebut gagal mematuhi tahap piawaian kebersihan yang ditetapkan.

Iklan

"Namun tular mesej suara di aplikasi WhatsApp kononnya kedai kopi itu diarahkan tutup selepas terdapat seorang pesakit Covid-19 mengunjungi premis tersebut, ia tidak benar kerana kedai berkenaan diarah tutup berikutan pihak MBPP dalam operasi baru-baru ini mendapati ia tidak bersih," katanya.

MBPP meminta orang ramai untuk lebih bertanggungjawab dan tidak menyebarkan serta berkongsi berita tidak sahih.

"Orang ramai boleh mendapatkan segala perkembangan terkini mengenai Covid-19 menerusi Kementerian Kesihatan,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: HTAR hadkan kehadiran pelawat

HRPZII pendekkan tempoh lawat pesakit

Covid-19: Waktu melawat di HSI dipendekkan