Adik Raisha sudah tiada

Iklan
Tuan Nur Raisha Mikayla

KUALA TERENGGANU - Bayi berusia lapan bulan yang menghidapi penyakit hati kronik (Biliary Atresia), Tuan Nur Raisha Mikayla Tuan Muhammad Shahrul Azlan meninggal dunia malam tadi selepas tujuh hari menjalani proses pemindahan hati di Hospital Max Healthcare, New Delhi, India.

Bayi sulung kepada pasangan Tuan Muhammad Shahrul Azlan Tuan Abdul Rahman, 27, dan Siti Nur Amira Ibrahim, 27, menghembuskan nafas terakhir jam 10.18 malam tadi (waktu India) di pangkuan bapanya.

Iklan
Iklan

Tuan Muhammad Shahrul Azlan berkata, bayinya yang menerima hati daripada isterinya pada 7 Mac lalu mengalami komplikasi ketika pembedahan kali ketiga yang dilakukan Khamis lalu (12 Mac).

"Raisha buat pembedahan pemindahan hati, Sabtu lalu. Sehari selepas itu (Ahad) dia terpaksa dibedah kali kedua disebabkan terdapat saluran tersumbat (portal vein) menyebabkan darah tidak boleh melalui hati.

Iklan

"Malangnya selepas pembedahan kali kedua dilakukan, badan dia membengkak. Apabila dirujuk kepada doktor, mereka beritahu air tidak dapat keluar dari badan Raisha.

"Khamis lalu, jam 7 malam keadaan menjadi agak kelam kabut dan doktor maklumkan Raisha perlu masuk dewan bedah lagi mungkin akibat saluran hati terlalu sempit menyebabkan air tidak dapat dikeluarkan.

Iklan

"Tepat jam 7.30 malam waktu India (10 malam waktu Malaysia) sekali lagi Raisha terpaksa di tolak ke bilik bedah buat kali ketiga untuk membaiki saluran pada hatinya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Tahap kesihatan Raisha merosot selepas hari keenam menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Max Healthcare, New Delhi, India. - Foto Facebook Tuan Muhammad Shahrul Azlan

Menurutnya, selepas berjaya menjalani pembedahan kali ketiga, keadaan bayinya agak kritikal.

"Doktor maklumkan pembedahan itu berjaya, malangnya Raisha mengalami komplikasi (jangkitan kuman) dan tidak sedarkan diri selama 17 jam bermula jam 5 pagi serta terpaksa bergantung sepenuhnya pada alat bantuan pernafasan.

"Segala yang diimpikan musnah. Saya pasrah dengan ketentuan Ilahi. Raisha meninggal dunia tepat jam 10.18 malam semalam dalam pelukan saya," katanya.

Katanya, dia kini berusaha mengumpul sebanyak RM10,000 untuk proses membawa pulang jenazah bayinya ke Kampung Limbongan, Besut malam ini atau selewat-lewatnya pagi esok.

Muhammad Shahrul Azlan bersama bayinya, Tuan Nur Raisha Mikayla; isteri, Siti Nur Amira dan ibu mentua, Rusnani Awang tiba di India pada 28 Februari lalu. - Foto Facebook Tuan Muhammad Shahrul Azlan

Muhammad Shahrul Azlan bersama bayinya, Tuan Nur Raisha Mikayla; isteri, Siti Nur Amira dan ibu mentua, Rusnani Awang, 60, tiba di India pada 28 Februari lalu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bayi Raisha memerlukan kos sebanyak RM160,000 untuk menjalani proses pemindahan hati di India.

ARTIKEL BERKAITAN: Adik Nur Raisha perlu RM160,000

Adik Nur Raisha masih perlukan RM80,000