SHAH ALAM - Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik hari ini memberi penjelasan berhubung pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai isu tulisan jawi.
Dr Mahathir bercakap mengenai perkara itu dalam Wawancara Eksklusif Sinar Harian baru-baru ini.
Menurut Dr Maszlee, beliau sudah banyak kali memberi penjelasan berhubung perkara itu termasuk kepada Dr Mahathir, ahli Kabinet, pemegang taruh dan semua pihak terbabit tetapi masih terdapat salah faham dan salah fakta.
"Perancangan pengenalan tulisan khat bermula pada tahun 2014 melalui semakan semula Kurikulum Sekolah Rendah (KSSR) dan melibatkan pakar bahasa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Wawancara Eksklusif bersama Tun Dr Mahathir Mohamad
Dr Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, ketika itu semakan semula KSSR telah diluluskan dalam Jawatankuasa Kurikulum Kebangsaan pada 5 Februari 2015.
Bagaimanapun katanya, sebelum semakan semula KSSR, Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan tulisan khat kepada pelajar Tahun 5 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dalam buku teks Bahasa Melayu cetakan 2015.
"Justeru adalah salah untuk mengatakan Pakatan Harapan atau saya yang menyuruh orang Cina belajar tulisan khat (jawi). Salah untuk mengatakan ‘kita tak minta MCA terima pun’.
"MCA terima. Tak ada bantahan. Dong Zong pun tidak nyatakan bantahan malah Gabungan Seni Khat Action Team (SEKAT) pun tidak wujud lagi pada waktu itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Maszlee memaklumkan beliau sudah membentangkan perkara itu pada Kabinet Pakatan Harapan dan seperti yang telah diputuskan oleh Kabinet, tulisan jawi yang diperkenalkan itu tidak ada kaitan dengan agama dan hanya melibatkan tiga muka surat.
Katanya, murid hanya akan belajar cara menulis perkataan ‘Malaysia’, ‘Ringgit Malaysia’, ‘Bank Negara Malaysia’ dan ‘Bersekutu Bertambah Mutu’ sahaja dalam tulisan jawi serta tidak membabitkan peperiksaan.
"Saya tidak pilih untuk berhadapan dengan isu ini, namun sebagai Menteri Pendidikan ketika itu saya perlu menggalas tanggungjawab dengan menangani isu ini dan menghormati keputusan yang telah disepakati oleh KPM sekian lama.
"Tumpuan saya ialah ‘reform’ pendidikan yang memang sudah berjalan malah ketika meletak jawatan sebagai menteri sekalipun, Jawatankuasa Kajian Dasar hampir memuktamadkan syor untuk mengubah sistem pendidikan negara kita secara total,” jelasnya.
Sementara itu, Dr Maszlee turut berharap penjelasannya dapat memperbetulkan salah faham sebelum ini dan bersedia memberi penjelasan lebih lanjut jika perlu.
Katanya, sudah sampai masanya, masyarakat mendengar penjelasan dari orang yang tepat dan bukan hanya dari individu terdekat mereka sahaja.