SHAH ALAM - Penjawat awam di negeri ini dinasihatkan tidak menjadikan media sosial sebagai medium untuk mengkritik dan menyebarkan tuduhan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mahu penjawat awam menjaga etika komunikasi di media sosial dan menjaga imej organisasi.
Iklan
Iklan
"Komen diberikan warga maya perlu dijawab secara berhemah walaupun berdepan bahasa kurang sopan dan tindakan provokasi.
"Sama-sama kita cerminkan keperibadian dengan asas digariskan agama sama seperti sabda Nabi Muhammad SAW,"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik"," katanya menerusi teks ucapan yang dibaca Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MBSA 2019 di Setia Alam Convention Centre semalam.
Katanya, penjawat awam perlu amanah dan menjaga integriti bagi membolehkan urusan pentadbiran lebih bersih dan efisien.
"Pencapaian negeri serta negara hari ini hasil penggubalan dasar mesra rakyat oleh kepimpinan kerajaan negeri,” katanya.
Hadir sama majlis tersebut adalah Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim.