SHAH ALAM - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengkritik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana komposisi Kabinet yang disifatkannya berat sebelah.
Menurutnya, UMNO sebagai blok ahli Parlimen terbesar dalam Perikatan Nasional telah diketepikan dengan cara yang sangat tidak adil dan boleh dilihat daripada dua perkara.
Beliau berkata, ia membabitkan pemberian portfolio kementerian yang tidak kritikal sedangkan pemimpin UMNO mempunyai tahap pengalaman yang tinggi.
"Kedua, keanggotaan Kabinet secara jelas memberikan manfaat yang sangat besar kepada blok Bersatu dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Mohamad lagi, oleh kerana Malaysia mengamalkan sistem Westminster, Kabinet hanya berkesan jika setiap parti diwakili dengan jumlah yang sewajarnya.
"Perkara ini sangat kritikal kerana hanya dengan mempunyai Kabinet yang bersatu hati, kerajaan boleh bergerak secara bersama dengan para pendukungnya.
"Hanya dengan yang demikian, kerajaan boleh memfokuskan kepada urusan tadbir urus dan pemerintahan.
"Maka, adalah lebih penting dalam keadaan semasa yang menyaksikan kita sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran yang sukar, dengan cabaran wabak Covid-19, kejatuhan pasaran saham dan ketidaktentuan ekonomi, kita tidak mempunyai ruang dan masa untuk berlengah dan melakukan kesilapan,” katanya.
Katanya lagi, tanpa sebuah Kabinet yang kuat, Malaysia akan terus-menerus menyaksikan polemik politik yang tidak berkesudahan.
ARTIKEL BERKAITAN: Tajuddin tidak puas hati agihan Kabinet untuk UMNO
Wanita UMNO mahu Zahid dalam Kabinet
UMNO tidak berlebihan tuntut agihan jawatan Kabinet: Khaled"Kabinet adalah institusi yang memandu dan mengukuhkan bangsa saat ia berhadapan dengan waktu yang sukar.
"Sebuah Kabinet yang kuat, terbukti dan inklusif adalah kritikal bagi memastikan kejayaan Perikatan Nasional. Sekiranya pengalaman politik ini diketepikan, ia akan memberi kerapuhan yang boleh membawa kepada kegagalan,” katanya.