KUALA LUMPUR - Masyarakat dinasihatkan agar tidak melemparkan persepsi negatif terhadap anggota Kabinet Persekutuan setelah mereka mengisytiharkan harta yang dimiliki kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata penganalisis politik.
Profesor Madya Datuk Dr Ismail Sualman berkata, langkah yang baik itu seharusnya disambut dengan perasaan positif kerana ia melambangkan kerajaan telus dan ingin bebas dari sebarang unsur korupsi.
"Apa yang mereka lakukan itu secara telus, jika ada orang nak mempersoalkan tentang harta Menteri Kewangan, misalnya dia dah jadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), wajarlah dia memang kaya. Begitu juga pemimpin yang ada perniagaan, ini semua tiada masalah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Dasar kerajaan Perikatan Nasional yang mewajibkan anggota Kabinetnya mengisytiharkan harta adalah langkah terbaik agar mereka berfikir dua kali untuk melakukan sebarang jenayah yang berunsurkan rasuah.
Langkah ini katanya akan mewujudkan keyakinan dalam kalangan rakyat terhadap pemimpin mereka dan ia selaras dengan hasrat SPRM untuk mewujudkan kerajaan yang bersih serta bertanggungjawab.
"Bila mereka isytihar harta, kita akan dapat kesan tindakan korupsi status kewangan harta sedia ada. Boleh bandingkan dengan imbuhan dan gaji yang mereka dapat,” katanya.
Rabu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika mesyuarat Kabinet sulung yang dipengerusikannya mengarahkan semua anggota Kabinet untuk mengisytiharkan harta dan mereka diberi tempoh sebulan untuk melakukannya sebagai komitmen kerajaan membanteras rasuah
Sementara itu, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, pengisytiharan harta oleh anggota Kabinet menunjukkan kebertanggungjawaban setiap menteri terhadap rakyat dan membuktikan mereka benar-benar 'bersih'.
"Rakyat akan melihat sama ada menteri menyalahgunakan kuasa atau memegang jawatan untuk kepentingan diri dan hanya untuk memperkayakan diri sahaja, jadi di sini rakyat boleh nilai betapa pentingnya pengisytiharan harta ini dilakukan.
"Ia juga satu langkah pencegahan, sebenarnya kalau orang nak merasuah pun, mereka akan buat juga, tetapi melalui langkah ini kita boleh menilai pendapatan mereka sepanjang pentadbiran, tentu ada lebih sedikit tetapi tidaklah ketara, maksudnya tidak melampaui pendapatan mereka sebagai wakil rakyat," katanya.
Beliau berkata, setiap menteri perlu mematuhi arahan perdana menteri itu dan mereka yang ingkar perlu melepaskan jawatan mereka dalam barisan Kabinet.
"Kebanyakan negara memang ada mengamalkan peraturan isytihar harta ini, misalnya, Singapura dan Australia. Ini penting untuk tunjukkan bahawa pemimpin itu mestilah berjiwa rakyat dan bersih serta bebas rasuah, jadi kalau ada yang tidak mahu isytihar aset mereka, lebih baik lepaskan sahaja jawatan,” katanya.
Beliau juga mencadangkan pengisytiharan aset juga tidak sepatutnya terhad kepada anggota Kabinet sahaja, sebaliknya harus diperluaskan merangkumi semua ahli Parlimen bagi memastikan amalan rasuah yang cuba dihapuskan kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, pengisytiharan harta dilakukan supaya anggota Jemaah Menteri tidak menggunakan kedudukan mereka untuk memiliki kekayaan melampaui pendapatan mereka.
Beliau menyeru masyarakat supaya memainkan peranan dalam melaporkan kepada pihak bertanggungjawab sekiranya mereka mendapati ada pemimpin yang terbabit dengan rasuah. - Bernama