SHAH ALAM - Sebanyak 1,576 penerbangan dari syarikat penerbangan Malaysia telah dibatalkan ekoran wabak koronavirus (Covid-19) sejak 1 Januari sehingga 29 Februari lalu.
Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, pembatalan itu melibatkan jumlah penggantungan terhadap semua operasi di Kuala Lumpur - Wuhan (pergi balik) laluan oleh AirAsia X serta Kota Kinabalu - Wuhan (pergi balik) laluan oleh Malindo Airways dan AirAsia.
"Selain itu, Malaysia Airlines juga telah menggantung semua perkhidmatan dari Kota Kinabalu - Shanghai (pergi balik) berkuat kuasa 18 Februari 2020.
"Perkhidmatan di beberapa laluan utama lain yang terjejas oleh wabak itu turut dibatalkan secara ad-hoc akibat daripada permintaan komersial yang rendah,” katanya kepada Sinar Harian.
Antara laluan yang terjejas termasuklah penerbangan pergi balik ke China dari Kuala Lumpur ke Shanghai, Beijing dan Guangzhou, selain perkhidmatan ke Singapura serta penerbangan ke Korea Selatan menerusi Kuala Lumpur ke Seoul, Jeju dan lain-lain.
Dalam pada itu, Dr Nungsari turut memaklumkan bahawa syarikat penerbangan Malaysia juga berdepan dengan kehilangan RM5.59 bilion atau 29.5 peratus dalam modalan pasaran (market capitalisation) sejak 1 Januari 2020.
Selain itu katanya, syarikat penerbangan tempatan juga telah mengenakan langkah pemotongan kos, termasuk pemotongan gaji ekoran penularan wabak itu yang bukan sahaja menyebabkan penerbangan dan perjalanan udara terjejas bahkan semua perniagaan yang berkaitan juga akan turut terjejas.
"Sehingga 13 Mac 2020, Mavcom telah menerima 480 pertanyaan daripada pengguna mengenai bayaran balik perjalanan yang berkaitan dengan Covid-19.
"Suruhanjaya melalui platform media sosialnya iaitu FlySmart telah mendidik dan memberitahu pengguna tentang cara-cara mereka boleh melindungi diri mereka, selain menyediakan tip perjalanan.
Mavcom akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan mengenai perkara ini,” katanya.