PETALING JAYA - Operasi membanteras penyalahgunaan dadah di sebuah pusat hiburan di Jalan Sungai Jernih, di sini awal pagi tadi mengesan seorang lelaki positif dadah jenis syabu.
Seramai 36 individu berusia lingkungan 36 tahun termasuk enam warga asing diarah menjalani ujian air kencing.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, polis turut menahan warga asing itu membabitkan tiga Filipina, dua warga Sri Lanka dan seorang warga tempatan dipercayai pengurus dan pelayan di premis terbabit.
"Warga asing ditahan kerana bekerja tanpa permit dan dokumen perjalanan yang sah serta salah guna pas lawatan sosial," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Operasi kira-kira jam 2.30 pagi itu dijalankan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Katanya, polis turut merampas 12 botol minuman keras, tiga keping resit jualan serta wang tunai berjumlah RM300.
"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Kastam 1967," katanya.
Dalam operasi berasingan, BSJND IPD Klang Selatan menyerbu sebuah pusat hiburan di Bandar Botanic, Klang, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.
"Ujian air kencing mendapati seorang lelaki positif dadah selepas pemeriksaan 15 individu termasuk empat wanita," katanya.
Tegasnya, operasi berkenaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengesan kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di pusat hiburan selain mengenal pasti perkara yang menyalahi undang-undang.