Penyokong Kedah harap Lang Merah pamer aksi cemerlang

Iklan
Kesebelasan Lang Merah diharap memberikan aksi terbaik menjelang perlawanan menentang Selangor di Alor Setar malam esok. Foto: UiTM FC

Penyokong setia Kedah berharap pasukan mereka dapat mempamerkan aksi cemerlang ketika menentang Selangor malam ini meskipun terpaksa bermain tanpa kehadiran penonton di Stadium Darul Aman di sini susulan penularan Covid-19.

Wakil kelab penyokong Kedah, Mohamad Hazriq Fahimy Abdullah, 38, dari Kelab Legasi Kedah (KLK) berkata, walaupun sedih dan kecewa dengan keadaan itu, namun penyokong perlu akur kerana aspek keselamatan serta kesihatan adalah lebih utama berbanding perkara lain.

Iklan
Iklan

"Setiap perlawanan melibatkan Kedah dan Selangor sememangnya sangat dinanti-nanti setiap tahun kerana ia mempunyai 'nilai sentimental' yang tinggi sejak dahulu lagi. Selangor ni macam musuh tradisi Kedah, jadi setiap perlawanan yang melibatkan The Red Giants sangat dinanti-nantikan.

"Jadi apabila dengar pengumuman perlawanan esok akan berlangsung tanpa kehadiran penyokong, kami memang kecewa sangat. Tetapi penyokong perlu akur kerana paling penting dan menjadi keutamaan sekarang ialah aspek kesihatan semua pihak," katanya kepada di sini semalam.

Iklan

Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa kesemua aksi Liga Malaysia (Liga-M) 2020 akan ditangguh bermula Isnin depan sebagai langkah membendung penularan Covid-19.

Bagaimanapun, kesemua aksi Liga Super dan Liga Premier minggu ini yang bermula semalam hingga hari ini tetap berlangsung namun mengambil pendekatan membenarkan perlawanan berlangsung tanpa penyokong.

Iklan

Mohamad Hazriq Fahimy berkata, meskipun beraksi tanpa kehadiran peminat, setiap pemain Kedah diharap dapat beraksi seperti biasa dan merasai semangat serta sokongan penyokong.

"Harapan saya kepada para pemain agar mereka terus fokus dalam usaha untuk memburu kemenangan yang pertama dalam saingan Liga Super tahun ini. Bermainlah dengan bersungguh-sungguh bagi memperoleh tiga mata penuh dan hadiahkan kemenangan itu kepada penyokong skuad Lang Merah yang tidak jemu memberi sokongan kepada mereka," katanya.

Seorang lagi penyokong Kedah, Muhammad Ilman Syahir Ibrahim, 20, berkata, beliau dan beberapa rakannya sudah merancang untuk menyaksikan perlawanan antara Kedah dan Selangor sejak seminggu lalu, namun hasrat itu terpaksa dibatalkan berikutan pengumuman FAM dan MFL semalam.

"Kami memang penyokong setia Lang Merah dan sebab itu, kami sudah rancang untuk datang dari Perlis bagi menonton perlawanan esok (malam ini). Walaupun terpaksa lupakan hasrat untuk beri sokongan secara berdepan, kami harap pemain dapat rasai kehadiran kami dan bermain dengan bersungguh-sungguh," katanya. - Bernama