Tasik Titiwangsa lengang, orang awam pilih duduk rumah

Iklan
Tempat permainan air di Tasik Titiwangsa yang menjadi tumpuan kanak-kanak bermain air lengang.

KUALA LUMPUR - Taman Tasik Titiwangsa yang sebelum ini menjadi tumpuan awam untuk beriadah pada hujung minggu sedikit lengang berbanding hari kebiasaan ekoran langkah berjaga-jaga orang ramai susulan penularan koronavirus (Covid-19).

Tinjauan Sinar Harian hari ini turut mendapati bilangan jumlah kenderaan yang diparkir juga tidak banyak seperti biasa selain zon permainan air yang menjadi tumpuan kanak-kanak juga tidak semeriah seperti sebelumnya.

Iklan
Iklan
Keadaan parkir kereta yang kosong berbanding biasa.

Seorang suri rumah, Suhaini Muhamad, 33, yang datang seawal jam 7 pagi berkata, walaupun ada yang datang untuk bersenam dan berjoging seperti biasa, namun suasana berbeza boleh di bahagian permainan kanak-kanak yang nampak berkurang.

"Saya datang awal jam 7 pagi untuk mengelak bersesak dengan orang ramai dan terus pulang ke rumah selepas itu," katanya sambil memberitahu penularan wabak Covid-19 yang kini diisytiharkan pandemik tidak menghalangnya meneruskan aktiviti bersenam pada hujung minggu.

Iklan

Sementara itu pekerja swasta, Ahmad Fazlan Mamat, 40, berkata, dia membawa anak-anak ke Tasik Titiwangsa hari ini bagi mengurangkan kebosanan pada waktu cuti sekolah.

Menurutnya, walaupun perasaan takut untuk terkena jangkitan tetap ada, namun dia memilih lokasi berkenaan berbanding mengambil risiko ke taman tema air sebagaimana permintaan anak-anak sebelumnya.

Iklan

"Perasaan takut jika terkena jangkitan ada tapi kita dah ajar anak-anak kaedah pencegahan dan kebersihan, selebihnya kita tawakal.

"Kalau diikutkan, anak-anak minta dibawa ke taman tema air tapi bila fikirkan risikonya lagi tinggi, lebih baik bawa ke Tasik Titiwangsa saja. Kebetulan orang yang bawa anak bermain air di sini pun kurang, jadi kami manfaatkan peluang itu," katanya.

Suhaini Muhamad (kiri) dan Ahmad Fazlan

Seorang lagi pengunjung, Rusydi Zulkifli, 26, berkata, keadaan jangkitan virus berkenaan membimbangkan itu tidak membantutkan hasratnya dan isteri untuk melakukan aktiviti riadah bersama anak-anak.

Apa yang penting, pasangan berkenaan turut menitikberatkan penjagaan kebersihan kerana kedua-duanya bekerja yang boleh mendedahkan diri kepada risiko jangkitan dari luar.

"Kami cuba kurangkan aktiviti luar rumah dan mengelak membawa anak-anak ke tempat tertutup.

"Selepas riadah kami akan bersihkan diri selain sediakan topeng muka dan sanitizer sebagai pencegahan," katanya.

Antara yang memilih beriadah berbanding duduk di rumah.