BANGKOK - Thailand mengeluarkan langkah-langkah pencegahan untuk pelancong yang melawat negara gajah putih ini sebagai usaha mengekang penularan koronavirus (Covid-19).
Dalam satu kenyataan, Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) menyatakan langkah pencegahan oleh Jabatan Kawalan Penyakit Thailand (DDC), Kementerian Kesihatan Awam itu mengkategori pelancong ke Thailand dalam tiga kumpulan untuk pengawasan yang berbeza.
Tiga kumpulan itu ialah: Zon Penyakit Berjangkit, negara yang mempunyai penularan jangkitan tempatan dan pelancong dari destinasi lain.
Pelancong dari Zon Penyakit Berjangkit iaitu China, Itali, Iran, Korea Selatan, Macau dan Hong Kong dikehendaki memohon visa sebelum memasuki Thailand dan menjalani kuarantin mandatori selama 14 hari selepas tiba di negara ini.
"Pada waktu daftar masuk, semua penumpang perlu mengemukakan sijil kesihatan untuk membuktikan mereka bebas dari Covid-19. Sekiranya mana-mana penumpang tidak dapat mengemukakan sijil berkenaan, penumpang tidak akan dibenarkan menaiki pesawat.
"Apabila tiba di Thailand, semua pelancong termasuk mereka yang transit sekurang-kurangnya 12 jam di lapangan terbang di Zon Penyakit Berjangkit atau yang melepasi Imigresen di negara itu dan wilayah-wilayahnya, perlu menjalani saringan di pintu masuk dan memberikan maklumat kepada pegawai di Pejabat Kuarantin," katanya.
Bagi penumpang transit, TAT berkata, mereka perlu menjaga jarak sosial dan berada hanya di kawasan berhampiran pintu pagar.
Pelancong yang menjalani kuarantin mandatori selama 14 hari pula, mereka masing-masing perlu merekodkan dan mengawasi sekiranya mempunyai gejala jangkitan dan pegawai pengawasan akan memantau dengan teliti gejala yang dialami pelancong.
Menurut TAT, pelancong dari kawasan transmisi tempatan yang berterusan disyorkan untuk berada di bawah pemerhatian dan pemantauan sendiri (penyeliaan tanpa kuarantin) semasa tempoh inkubasi selama 14 hari dan pegawai pengawasan akan memantau dengan teliti gejala mereka.
Pada 13 Mac, Kementerian Kesihatan Awam telah mengemas kini senarai negara yang mempunyai transmisi tempatan berterusan, yang kini termasuk Jepun, Perancis, Sepanyol, Switzerland, Jerman, Belanda, Sweden, Norway, Denmark, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
"Jika seseorang penumpang merasa sakit atau mengesyaki mereka mengalami demam yang disertai dengan sekurang-kurangnya satu gejala; seperti batuk, hidung berair, sakit tekak dan sesak nafas dalam tempoh 14 hari selepas tiba di Thailand, mereka mesti memaklumkan kepada pegawai kawalan penyakit untuk segera menjalani ujian, rawatan, didiagnosis secara klinikal, diasingkan atau dikuarantin," katanya.
Sementara itu, bagi pelancong dari destinasi lain, TAT berkata, mereka akan menjalani pemeriksaan dan saringan seperti biasa di pintu masuk dan keluar.
"Mereka dinasihati untuk mengikuti saranan kesihatan - elak mengunjungi tempat yang sesak, elak mendekati individu yang mengalami gejala penyakit pernafasan, mengambil langkah untuk memakan makanan yang dimasak, menggunakan sudu untuk makan, basuh tangan dan memakai penutup muka dan hidung untuk mengelakkan penyakit," katanya.
Sehingga kini, Thailand mencatatkan 82 kes Covid-19 dengan satu kematian dan 46 pesakit masih dirawat di hospital manakala 35 telah dibenarkan pulang. - Bernama