GEORGETOWN - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa pihak termasuk seorang pemimpin Pemuda UMNO dan syarikat media kerana didakwa menyebarkan berita palsu mengaitkan anaknya.
Guan Eng berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya berbuat demikian selepas mendapati pihak terbabit telah mencemarkan namanya serta anaknya.
Beliau berkata, tindakan itu akan diambil terhadap seorang pimpinan Pemuda UMNO menggunakan nama Papa Azri yang didapati mula menyebarkan perkara tersebut dan juga Media Chinese International Limited (MCIL) terdiri daripada Sin Chew Jit Poh, Guang Ming, China Press dan Nanyang Siang Pau.
Tindakan juga akan diambil terhadap beberapa penyokong Barisan Nasional (BN), UMNO dan Pas.
"Keluarga saya amat marah dengan tuduhan yang tidak bermaruah ini kerana mensasarkan anak saya sedangkan dia tidak terlibat dengan politik," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di ibu negara tadi.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, tuduhan itu bukan kali pertama dibuat apabila anaknya sebelum ini turut difitnah melakukan gangguan seksual kepada rakan sekelasnya, namun tuduhan tersebut dinafikan Ketua Polis Negara, sambil memberitahu individu didakwa 'mangsa' serangan seksual itu ialah juara catur dari Hong Kong dan tidak pernah berjumpa dengan anaknya.
Beliau mendakwa, perkara itu turut disebarkan individu menggunakan nama Papa Azri.
Pagi tadi, Nanyang Siang Pau memohon maaf berhubung laporan yang mendakwa seorang anak pemimpin Pakatan Harapan ditangkap di Singapura dengan wang tunai RM2 juta.
Akhbar harian berbahasa Cina itu berkata, selepas disemak, laporan itu berdasarkan maklumat salah dan pihaknya meminta maaf kepada individu itu dan pembaca secara amnya.