Perdaya mangsa guna e-wallet

Iklan
Elias menunjukkan gambar suspek yang sedang dikesan untuk membantu siasatan kes penipuan menggunakan aplikasi e-wallet.

ALOR SETAR - Polis Kedah berjaya mengesan taktik baharu sindiket penipuan dalam talian yang menggunakan kad pengenalan orang awam untuk mendaftar aplikasi e-wallet di negeri ini sejak Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, sindiket terbabit menawarkan bayaran sehingga RM300 bagi setiap akaun e-wallet yang berjaya didaftarkan.

Iklan
Iklan

Katanya, dalam tempoh Januari hingga Februari lalu, sebanyak 25 kertas siasatan telah dibuka melibatkan kerugian sebanyak RM600,000.

"Kita yakin, sindiket ini mulai beralih ke aplikasi e-wallet kerana sistem bayaran tanpa tunai ini boleh digunakan di mana-mana sahaja sama ada untuk urus niaga atau mendapatkan tunai.

Iklan

"Sehingga kini, seramai 50 orang awam telah dikesan menyerahkan kad pengenalan mereka untuk didaftarkan," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, sindiket tersebut menggunakan ejen untuk memperdaya orang awam bagi mendaftar e-wallet dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah.

Iklan

"Mangsa pula tidak sedar bahawa akaun e-wallet mereka disalah gunakan untuk penipuan kerana semua urusan termasuk nombor TAC dihantar ke nombor telefon scammer berkenaan," katanya.

Menurutnya, bertindak atas laporan yang diterima, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Muda berjaya menahan dua lelaki tempatan awal bulan ini dalam daerah berkenaan.

"Ketika serbuan, kedua-dua suspek berusia 23 tahun itu sedang mendaftar kad pengenalan orang awam ke sistem e-wallet.

"Pihak polis turut merampas enam buah telefon bimbit pelbagai jenis, 13 kad sim pelbagai telco serta enam keping kad ATM.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihak polis sedang mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai berada di Bahau, Negeri Sembilan.

"Kepada mereka yang mempunyai maklumat berkaitan suspek terbabit boleh menghubungi balai polis berdekatan," katanya.