KLANG - Polis mematahkan kegiatan pengedaran dadah dengan penangkapan dua lelaki di sebuah hotel di Jalan Meru di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, tangkapan menerusi Op Tapis itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara kira-kira jam 2.45 petang hasil maklumat dan risikan.
Iklan
Iklan
"Dua lelaki berusia 19 dan 33 tahun telah ditahan dan pemeriksaan menjumpai satu beg kulit berisi dua peket plastik lut sinar disyaki dadah jenis syabu seberat 52 gram.
"Sebuah kereta jenis Perodua Bezza turut disita untuk siasatan lanjut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek terbabit positif dadah jenis syabu.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan kegiatan suspek dalam kegiatan dadah.
"Suspek kini direman tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.