MERAK Jalanan sering tertanya-tanya adakah golongan yang menyebarkan berita palsu mengenai Covid-19 ini mempunyai unit khas yang setiap masa menyalurkan berita palsu?
Adakah mereka tidak tidur malam bagi memastikan berita palsu sentiasa beredar di alam media sosial? Apa kepuasan yang mereka peroleh?
Banyak persoalan yang timbul dalam fikiran Merak Jalanan berkaitan tindakan unit khas penyebar palsu itu.
Mereka bukan sahaja menyusahkan orang ramai, malah mengganggu tugas pihak berkuasa yang sedang bertungkus-lumus untuk mengekang pandemik berkenaan daripada terus merebak.
Amaran daripada polis, Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak diendahkan oleh unit khas penyebar berita palsu itu.
Malah tindakan pendakwaan di mahkamah terhadap penyebar berita Covid-19 seakan-akan tidak menggentarkan unit khas penyebar berita palsu itu daripada terus bekerja.
Merak Jalanan nak mohon kepada unit khas berkenaan supaya berehatlah seketika daripada terus menyebarkan berita palsu yang akhirnya menyebabkan keadaan menjadi lebih panik.
Misalnya, dengan menyebarkan berita kononnya beberapa tempat tidak boleh dilawati dan ditutup kerana Covid-19 akhirnya akan menyebabkan orang lain kerugian.
Unit khas penyebar berita palsu perlu sedar bahawa tindakan mereka akan memberi banyak lagi kesan sampingan yang memudaratkan.
Seperti yang dinyatakan Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, penyebaran berita palsu akan mencetuskan kebimbangan dan menjejaskan sektor perniagaan, sekali gus memberi kesan kepada ekonomi negara.
Katanya, perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu kononnya pusat beli-belah tidak selamat dikunjungi hanya akan mewujudkan panik.