SERDANG - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menilai semula petunjuk prestasi (KPI) setiap fakulti dan akan memansuhkan KPI yang bersifat 'one-size-fits-all' bagi memperluaskan lagi autonomi di universiti-universiti awam.
Sehubungan itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, universiti akan dibahagikan kepada kluster bagi mewujudkan sinergi dan kolaborasi agar tidak lagi bergerak bersendirian.
Katanya, autonomi diberikan kepada universiti dan kluster-kluster mereka untuk menentukan KPI masing-masing.
"Selari dengan visi kita iaitu untuk mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi melalui peningkatan kualiti dan penekanan nilai sebagai teras pendidikan, kita telah menggariskan empat hala tuju khusus bagi Universiti Awam dan pengajian tinggi," kata beliau.
Empat hala tuju tersebut ialah kualiti, autonomi, kolaborasi dan pengantarabangsaan.
"Universiti ialah medan intelektual terbuka. Di situlah tempat berlakunya perdebatan teori, pergaduhan wacana dan perkongsian ilmu yang meriah dan terbuka," kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan Amanat Menteri Pendidikan Tahun 2019 di Universiti Putra Malaysia di sini, hari ini.
Sehubungan itu kata Maszlee:"Inilah sebenarnya neraca kualiti setiap universiti."
"Hal ini sangat bertepatan dengan hala tuju kita iaitu ketinggian kualiti yang mana akan dilaksanakan menerusi tiga aspek iaitu kecemerlangan, relevan dan keberkesanan. Untuk mencapai tahap ketinggian kualiti yang memuaskan ini, beberapa perubahan akan dijalankan," kata beliau.
Salah satu perubahan itu menurut Maszlee, ialah para akademik perlu 'visible' dengan penghasilan karya-karya yang memanfaatkan masyarakat.
"Kita juga menggalakkan universiti untuk menyuburkan budaya dialog, forum, debat, wacana dan program-program lain yang bersifat intelektual dan ke arah memberikan penyelesaian kepada masalah masyarakat dan membangunkan negara," katanya.
Selain itu, kata beliau, etika merupakan aspek yang sangat besar dan perlu ditekankan di mana etika bekerja yang tidak baik, budaya plagiarism, pembulian akademik mesti dihentikan.
"Integriti tidak akan dikompromi, termasuk pembasmian plagiarisme, bonceng gratis dan kegilaan menerbitkan artikel yang tidak berkualiti semata-mata ingin mengejar markah penerbitan.
"Penerbitan yang dihasilkan mestilah mencerminkan penguasaan para intelek terhadap bidangnya sekaligus menjadi rujukan sejagat di dalam bidang tersebut," katanya.
Langkah ketiga yang akan diambil KPM ialah meningkatkan kualiti geran-geran penyelidikan.
Katanya, geran-geran yang akan dikeluarkan mestilah berbentuk pemindahan pengetahuan, menggalakkan penterjemahan karya-karya besar dan mesti ke arah menyelesaikan masalah masyarakat dan negara yang bersifat semasa dan 'substantial'.
"Para pensyarah yang telah dikurniakan geran kajian juga digalakkan membimbing dan membiayai calon-calon pasca sarjana mereka melalui geran-geran tersebut dengan melantik mereka menjadi pembantu penyelidik," katanya.
Malah menurut Maszlee, bagi sistem promosi para pensyarah pula, KPM akan mula bergerak ke arah penggunaan sistem yang memudahkan seperti sistem pusat data raya dengan teknologi kepintaran buatan yang akan memuatkan semua usaha dan sumbangan mereka sekali gus akan menentukan kelayakan kenaikan pangkat secara automatik.
"Tiada lagi lambakan borang yang perlu diisi," katanya.
Menyentuh langkah perubahan yang akan digariskan, Maszlee memberitahu, perpustakaan akan menjadi gedung ilmu yang paling luas dan tidak berpenghujung.
Katanya, sistem perhubungan antara perpustakaan seluruh universiti akan ditambah baik dan akses-akses kepada penerbitan luar akan ditingkatkan.
"Kita juga menyasarkan agar Universiti Awam dan pengajian tinggi kita menjadi rujukan dan tumpuan global," katanya.