SHAH ALAM - Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) menyambut baik langkah Kementerian Kesihatan (KKM) menempatkan 1,000 doktor pelatih di semua hospital kerajaan seluruh negara bermula Isnin ini bagi melicinkan operasi harian susulan penularan koronavirus (Covid-19).
Presidennya, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, langkah diambil itu mampu mengurangkan beban doktor.
Menurutnya, doktor pelatih yang hanya mengendalikan kes kesihatan biasa termasuk demam, selesema dan lain-lain turut melegakan masyarakat memandangkan mereka kurang terlatih.
"Sememangnya selepas berita ini keluar saya sendiri dihujani dengan pelbagai soalan daripada masyarakat yang ingin mengetahui tugas sebenar doktor pelatih dalam kes Covid-19.
"Begitupun doktor-doktor pelatih akan diberikan induksi terlebih dahulu dan hanya diberikan tugas untuk membantu pegawai-pegawai perubatan dalam melakukan saringan sebelum dirujuk kepada doktor yang berkaitan.
"Ini secara tidak langsung mengurangkan beban doktor dalam menguruskan pesakit-pesakit luar sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan khusus kepada pesakit Covid-19,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: 1,000 doktor pelatih ditempatkan di hospital seluruh negara
Dalam pada itu Dr Ahmad Shukri turut berterima kasih dengan pendekatan drastik diambil kerajaan dalam menangani penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat di seluruh dunia.
"Kerajaan sebenarnya boleh mengambil lebih ramai lagi doktor-doktor pelatih memandang masih ramai lagi graduan perubatan yang masih menganggur.
"Jadi kita harap akan ada langkah susulan selepas ini yang akan dilakukan oleh pihak KKM,” katanya.
Sementara itu, bekas pengamal perubatan, Dr Zubaidah Zabidin yang juga perunding keselamatan dan kesihatan pekerja turut melahirkan pendapat sama, namun menyifatkan pegawai perubatan yang bertauliah lebih layak untuk menguruskan hal-hal berkaitan pesakit di hospital.
Katanya, doktor-doktor pelatih bukan sahaja tidak terlatih, malah mereka juga tidak diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) kerana tidak mempunyai Sijil Amalan Tahunan (APC).
"Jadi kita bimbang sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini berlaku kepada pesakit ketika mereka (doktor pelatih) melakukan tugas, bukan sahaja mereka bakal berdepan tindakan undang-undang bahkan juga pihak kementerian.
"Jadi saya sarankan pihak kementerian dapat mencari mekanisme lain dalam membantu mengurangkan beban doktor yang merawat pesakit khususnya Covid-19,” katanya.
Justeru, Dr Zubaidah menyarankan agar pihak KKM dapat mengurangkan masa menunggu pesakit untuk bertemu doktor di klinik perlu dipendekkan, hanya anggota keluarga yang sakit sahaja perlu ke hospital bagi mengurang risiko jangkitan, menyediakan topeng muka kepada pesakit ketika merawat pesakit, melakukan saringan kepada kakitangan hospital termasuk di bahagian penyediaan makanan setiap hari selain mewajibkan mereka memakai topeng muka dan sarung tangan ketika berurusan dengan pesakit.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menyatakan semua doktor pelatih akan menjalani latihan induksi lima hari termasuk pengendalian elemen Covid-19 sebelum memulakan tugas mereka.
"Langkah penempatan segera 1,000 doktor pelatih ini bagi meredakan bebanan doktor sedia ada yang menumpukan kes Covid-19.
"Mereka tidak akan terbabit dalam pengendalian kes Covid-19, namun lebih kepada kes kesihatan biasa termasuk demam, selesema dan lain-lain, ” katanya.