SUNGAI PETANI - Menyedari bahawa sektor pertanian memberi pulangan yang memberangsangkan, seorang siswazah lulusan penerbangan menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan.
Pengasas Famox Plantation (M) Sdn Bhd, Ramana K Naidu, 30, yang merupakan usahawan agropreneur muda berkata, beliau turut menggalakkan usahawan muda menceburi bidang pertanian.
Menurutnya, antara bidang pertanian yang memberi pulangan memberangsangkan ialah projek mentor mentee melibatkan penanaman jagung bijirin.
"Kita menggalakkan pelajar kolej pertanian menerima tawaran menerusi konsep pengurusan ladang kontrak menggunakan prosedur operasi standard (SOP) dan sistem terbaik, selain latihan, bimbingan, khidmat nasihat serta jaminan pembelian balik hasil pengeluaran akan diuruskan syarikat kami.
"Famox Plantation masih memerlukan lebih ramai usahawan agropreneur muda. Kami kini mempunyai seramai 15 peserta sejak enam bulan lalu dan mereka yang memiliki tanah sendiri akan diberi keutamaan,” katanya kepada pemberita pada Jelajah Agropreneur Muda 2020 di Ladang Sungai Batu di sini kelmarin.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setia-usaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid.
Ramana berkata, projek berkenaan memberi peluang kepada seramai 100 peserta yang akan mengusahakan hampir 4,000 hektar penanaman jagung bijirin seluruh negara melalui usahasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).
Menurutnya, bantuan yang disalurkan melalui Unit Agropreneur Muda dan pembiayaan menerusi Agropreneur Muda mampu meningkatkan penghasilan tanaman, sekali gus memberi pulangan yang lumayan.
Sementara itu, seorang peniaga, Nik Fadzli Nik Mohd Fathil, 36, berkata, bantuan Unit Agrepreneur Muda dapat meningkatkan hasil perniagaan makanan sata dan otak-otak yang diusahakan sejak 2010.
Menurutnya, bermula dengan satu tan pengeluaran sebulan, ia meningkat kepada lima tan pengeluaran dengan nilai jualan RM50,000 sebulan.
"Menerusi bimbingan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan peralatan alat pemprosesan termasuk mesin pengadun, mesin pengisar, mesin penghancur daging dan peti ais, ia telah memberi hasil berganda,” katanya.
Eksekutif Pemasaran Dapur Ibu Food Industri, Nor Izni Ismail, 35, pula berkata, penghasilan sambal belacan yang diusahakan syarikatnya meningkat sebanyak 40 hingga 50 peratus selepas dibantu unit berkenaan.
Menurutnya, transformasi dari aspek pembungkusan menjadikan produk sambal belacan dengan tema stail kampung lebih menyerlah, malah setanding dengan produk antarabangsa melalui geran yang disalurkan.
"Setakat ini sambal belacan kami pernah sampai di Makkah, Arab Saudi dan negara luar yang lain seperti Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Australia, Singapura dan Dubai.
"Bungkusan produk lebih efisien, selain daya tahan sehingga setahun tanpa guna bahan pengawet,” katanya.