KDN kaji enam akta untuk pinda atau mansuh

Iklan
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (kiri) menganugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Polis Diraja Malaysia kepada bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor bagi menghargai jasa kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian kepada negara semasa era darurat dalam perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu pada Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Dalam Negeri Tahun 2019 hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji enam akta sama ada perlu dipinda atau dimansuhkan, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Enam akta itu adalah Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Pencegahan Keganasan 2015, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 dan Akta Perhimpunan Aman 2012, katanya.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, KDN akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk memperhalusi cadangan pindaan atau pemansuhan akta-akta itu dan hasil perbincangan itu akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.

"Prinsip asas dalam kajian undang-undang ini ialah kerajaan perlu menggubal undang-undang berkaitan keselamatan yang dapat mengimbangi keperluan untuk menjaga keselamatan negara dengan berkesan.

Iklan

"Pada masa yang sama, memelihara hak-hak kebebasan asasi seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada majlis Amanat Tahun Baharu 2019 Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Berhubung Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Muhyiddin berkata status akta itu masih lagi dibincangkan secara menyeluruh dengan pemegang taruh dan badan bukan kerajaan termasuk Majlis Peguam.

"Berikan sedikit masa. Kami sedang menyusun semula atau meminda undang-undang itu,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata fokus utama KDN bagi tahun ini antaranya merombak semula sistem pengoperasian imigresen dengan melaksanakan konsep end-to-end operation bagi mengelakkan gejala rasuah, menggunakan teknologi berasaskan kecerdasan buatan dalam penguatkuasaan dan pembanterasan jenayah.

Fokus lain termasuk memperhebatkan strategi pencegahan dan kawalan radikalisme dan ekstremisme dalam memerangi keganasan, membanteras jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran serta jenayah rentas sempadan, meningkatkan penggunaan media sosial dalam menyebar luas maklumat berkaitan keselamatan dan menangani penyebaran berita palsu, katanya.

"Jabatan dan agensi penguatkuasaan undang-undang perlu dilihat sebagai jabatan berorientasikan perkhidmatan mesra rakyat dan bukan semata-mata melaksanakan tugas penguatkuasaan,” katanya.

Muhyiddin berkata selaras dengan janji dalam manifesto Pakatan Harapan, KDN telah menganugerahkan taraf kewarganegaraan kepada 1,641 individu berketurunan India berumur 60 tahun ke atas yang telah memenuhi syarat-syarat kewarganegaraan.

Pada majlis hari ini juga, Muhyiddin turut menyampaikan anugerah Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 13 penerima bagi menghargai jasa kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian kepada negara semasa era darurat dalam perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu (12 Julai 1948 hingga 21 Julai 1960), Era Insurgensi Komunis (17 Jun 1968 hingga 2 Dis 1989) dan Perkhidmatan Semasa Darurat di Sabah dan Sarawak (1962 hingga 17 Okt 1990).

Mendahului senarai penerima merupakan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, enam bekas ketua polis negara, empat bekas timbalan ketua polis negara.

Muhyiddin turut melancarkan projek pembangunan web portal e-Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM), iaitu inisiatif baharu PDRM untuk menjaga kebajikan para pesara polis yang telah banyak berjasa kepada negara.

Menurutnya, web portal fasa pertama yang dijangka siap pada Mac ini akan memanfaatkan hampir 14,000 pesara PDRM bagi mendapatkan informasi terkini, mengemas kini maklumat peribadi dan membuat serta menyemak permohonan Tabung Amanah Warisan Polis, Kad Pesara Polis dan Pingat Jasa Pahlawan secara dalam talian. - Bernama