Banteras kegiatan import plastik terpakai: Sultan Selangor

Iklan
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah sewaktu Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke 14 yang bermula hari ini. FOTO SINAR HARIAN /ASRIL ASWANDI SHUKOR.

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah bertitah, supaya Kerajaan Selangor membanteras kegiatan mengimport plastik terpakai di negeri ini.

Titah baginda, langkah ini adalah bagi menggelakkan Selangor menjadi pusat pengumpulan sisa plastik terpakai pada masa hadapan.

Iklan
Iklan

"Tindakan terhadap kegiatan ini boleh dilaksanakan melalui kerjasama bersepadu antara agensi-agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor," titah baginda sewaktu Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke 14 yang bermula hari ini.

Selain itu, baginda menitahkan Kerajaan Selangor dapat memberi tumpuan terhadap beberapa insiden pencemaran sungai yang menyebabkan henti-tugas Loji Rawatan Air (LRA) dan gangguan bekalan air kepada rakyat.

Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke 14 yang bermula hari ini. FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Iklan

Baginda bertitah, tindakan bersepadu antara semua agensi amat diperlukan bagi menangani isu ini secara kolektif berlandaskan bidang kuasa perundangan masing-masing.

"Menerusi Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Menangani Pencemaran Sumber Air yang telah diwujudkan di peringkat negeri, satu rangka kerja jangka masa pendek dan panjang dalam menangani pencemaran sumber air sedang disediakan dengan melibatkan semua agensi berkaitan," titah baginda.

Iklan

Tambah baginda, kawasan-kawasan hutan, tanah gambut, tanah pertanian dan tapak pelupusan sampah haram di Selangor juga perlu sentiasa dipantau pada musim panas sehingga Oktober ini.

"Kawasan-kawasan ini hendaklah dipantau dengan rapi oleh pihak-pihak yang berwajib dan pemilik-pemilik tanah agar tidak berlaku pencerobohan untuk melakukan pembakaran secara terbuka," titah baginda lagi.